mutakhir

Penderitaan dapat perhatian

Kuala Lumpur: Keperitan yang terpaksa ditanggung Nurulain Sharin, 2, dan Tan Yet Juin, 8, mendapat perhatian banyak pihak yang menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan mereka.

Antara individu yang menghulurkan bantuan adalah Pengarah Urusan Kawaguchi Development Sdn Bhd Tan Sri Dr Jason Goh Tech Chai dengan sumbangan wang tunai RM10,000 kepada Tabung Kemanusiaan NSTP.

Sumbangan terbabit diserahkan kepada Pengurus Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima Bhd (Media Prima) Kamarul Aznam Kamrozaman selepas membaca mengenai penderitaan Nurulain dan Yet Juin dalam akhbar, baru-baru ini.

Jason berkata, pemberian bantuan itu adalah bagi meringankan bebanan yang ditanggung kedua-dua kanak-kanak itu yang menghidap penyakit kritikal.

“Penderitaan mereka meruntun hati kerana dalam usia yang begitu muda terpaksa melawan pelbagai penyakit kronik.

“Sumbangan ini boleh membantu keluarga kanak-kanak itu untuk menanggung kos rawatan yang mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), di sini, semalam.

Sementara itu, Kamarul Aznam berkata, program mengumpul dana demi meringankan bebanan yang ditanggung kedua-dua kanak-kanak terbabit adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.

“Media Prima komited dalam membantu golongan kurang bernasib baik seperti kedua-dua kanak-kanak itu dalam usaha membantu mengumpul dana bagi menjalani rawatan.

“Oleh itu, Media Prima mengalukan sumbangan daripada syarikat korporat dan individu demi memastikan nasib golongan kurang bernasib baik ini terbela,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Nurlain menderita jantung berlubang dan masalah injap, hati serta saluran pernafasan yang memerlukan kos rawatan kira-kira RM63,000.

Selain Nurulain, Yet Juin, yang berasal dari Simpang Pulai, Perak juga memerlukan bantuan kewangan RM30,000 bagi mengubati penyakit jantung berlubang yang dideritainya sejak lahir.

Disiarkan pada: February 17, 2016 @ 6:47am
d