mutakhir

NSTP sumbang 10 komputer

Shah Alam: “Kini kami boleh terus menyiapkan tugasan diberi guru di sekolah tanpa perlu berebut dengan pelajar lain,” kata pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) TTDI Jaya, Airin Nadirah Hamidon.

Airin Nadirah ditemui pada majlis penyerahan 10 komputer kepada SMK TTDI Jaya sumbangan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), semalam.

NSTP menyumbang komputer berkenaan sebagai usaha untuk menambahkan lagi kemahiran penggunaan komputer dalam kalangan murid sekolah selain menambah ilmu berkaitan Teknologi Maklumat (IT) untuk pembelajaran seharian.

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengurus Balai Berita Shah Alam Faizulddin Manshor kepada Pengetua SMK TTDI Jaya Abd Khany Mohd Yusuf.

Menurut Airin Nadirah, ketika ini, penghasilan semua kerja kursus perlu menggunakan komputer sepenuhnya termasuk untuk mengumpul bahan serta maklumat diperlukan.

“Bukan tiada komputer di rumah tetapi saya rasa, dengan menyiapkannya terus di sekolah, kerja tidak akan tertangguh dan tugasan juga lebih mudah untuk dibincangkan bersama rakan sekelas,” katanya.

Sementara itu, Abd Khany berkata, sumbangan oleh NSTP itu akan melancarkan lagi proses pembelajaran di sekolah berkenaan.

“Setakat ini kita mempunyai dua makmal komputer dan dengan sumbangan ini, sistem pembelajaran akan menjadi lebih mudah buat tenaga pengajar dan pelajar.

“Kami berbesar hati dengan sumbangan ini dan berterima kasih kepada NSTP,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2016 @ 8:27am
d