mutakhir

Tertipu alat ganti ciplak

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Seorang peniaga menjadi mangsa penjualan alat ganti kenderaan ciplak apabila klac yang baru dibeli rosak mendadak tidak sampai sebulan selepas dibeli.

Mangsa tambah kecewa apabila kereta Proton Iswara miliknya yang baru dibaiki itu di sebuah bengkel di Jalan Kajang tersadai dan memerlukan kos baik pulih tambahan lebih RM1,000.

Mangsa, Amir Suhadi Abdul Mues, 40, berkata, dia membeli peralatan berkenaan daripada premis alat ganti kenderaan pada harga RM200.

Menurutnya, dia turut membayar RM200 lagi bagi kos pemasangan alat itu.

“Bagaimanapun, kereta saya tiba-tiba rosak dan saya terpaksa memanggil trak penunda untuk menghantar kereta saya itu ke bengkel.

“Saya terkejut apabila diberitahu mekanik bahawa kereta saya itu mengalami kerosakan pada klac. Saya beritahu dia alat itu sudah diganti baru sebulan lalu namun bukti menunjukkan alat ganti itu sememangnya rosak,” katanya.

Dia yang merujuk masalah itu kepada bengkel tempat klac itu dibeli bagaimanapun, dimarahi malah pemilik bengkel itu enggan bertanggungjawab.

“Dia enggan menggantikan klac itu atau membayar sebarang ganti rugi. Akibatnya saya terpaksa membelanjakan wang untuk membayar upah trak tunda dan baik pulih semula kenderaan,” katanya.

Menurutnya, dia sudah membawa perkara berkenaan kepada pihak Tribunal Tuntutan Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan berharap hal berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh masa segera.

Disiarkan pada: February 18, 2016 @ 8:39am
d