mutakhir

Tanggung beban rumah 15 tahun tak siap

Kuala Kubu Bharu: “Sebahagian besar daripada kami terpaksa membayar hutang rumah yang masih belum siap hingga kini malah ada yang sudah disenarai hitam oleh bank kerana gagal melunaskan pinjaman,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bekas Pekerja Ladang Sungai Belata T Muniandy, 45, semalam.

Menurut Muniandy, ia antara beban terpaksa ditanggung 64 keluarga bekas pekerja Ladang Sungai Belata, Lembah Beringin di sini, sejak 15 tahun lalu ekoran kelewatan pembinaan rumah yang dijanjikan pemaju.

Pembinaan rumah teres kos rendah yang dijanjikan pada 2001 di kawasan tanah seluas 1,680 hektar di daerah ini sepatutnya siap pada 2003 namun langsung tidak dibina pemaju.

Muniandy berkata, sebahagian besar pembeli rumah adalah bekas pekerja di ladang getah berkenaan yang bekerja di situ sejak 1970-an hingga 1990-an.

Bagaimanapun, katanya, kesemua 64 keluarga itu sudah diarah keluar dan ditawarkan rumah teres kos rendah bernilai RM25,000 pada 1994.

“Kami juga sudah menandatangani surat perjanjian jual beli pada 2001 dan membayar deposit RM2,500 setiap unit.

“Lebih 30 keluarga pula membuat pinjaman dengan pihak bank tetapi sebahagian besarnya disenarai hitam kerana gagal membayar pinjaman perumahan,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

Muniandy antara 64 bekas pekerja ladang itu turut serta dalam perhimpunan di depan IPD Hulu Selangor bagi mendesak penyelesaian segera masalah kelewatan pembinaan rumah mereka berlanjutan lebih 15 tahun.

Bekas pekerja ladang, P Thangavellu, 50, berkata, ketiadaan tempat tinggal memaksa keluarganya keluar dari situ sebelum menetap di Kuala Lumpur.

“Saya juga mempunyai tunggakan pinjaman dan masih membayar secara bulanan. Malangnya, tiada sebarang perkembangan berkaitan rumah dibina hingga kini.

“Penjelasan daripada pemaju juga gagal diperoleh menyebabkan kami keliru berkaitan status pembinaan rumah ini,” katanya.

Anak bekas pekerja ladang, Mustapa Esop, 52, berkata, dia mewarisi tuntutan yang dibuat oleh arwah ibu bapanya 15 tahun lalu.

“Bapa saya antara bekas pekerja ladang yang menandatangani perjanjian jual beli pada 2001. Kini, kedua-dua ibu bapa saya sudah meninggal dunia namun masalah ini masih belum selesai.

“Saya harap tuntutan dibuat oleh arwah ibu bapa saya ini dapat diselesaikan,” katanya.

Menurut Mustapa, penduduk berharap kerajaan negeri atau pihak berkaitan dapat campur tangan bagi menyelesaikan masalah berkenaan kerana majoriti pembeli adalah mereka yang berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membeli rumah lain.

Disiarkan pada: February 18, 2016 @ 8:46am
d