mutakhir

Angkut keluar PATI

Oleh Norashikin Leman

Klang: Datang bawa barang, balik bawa orang. Itu taktik digunakan tekong bot tukar barang Indonesia yang mengaut keuntungan lebih lumayan dengan menyeludup warga asing pulang ke kampung halaman.

Bot tukar barangan itu kebiasaannya masuk ke negara ini dengan membawa muatan barangan keperluan harian sebelum menyeludup keluar warga asing.

Buktinya, 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Langat di sini, jam 1.20, pagi semalam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang Kepten Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya mengesan bot terbabit sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan menemui 14 lelaki dan lima wanita, termasuk tekong, berusia 18 tahun hingga 51 tahun di dalam bot terbabit. Tekong didapati mahu menyeludup warga asing itu menggunakan laluan yang tidak diwartakan.

“Tekong berselindung di sebalik bot tukar barang, dia mengambil kesempatan menyeludup keluar warga asing dengan bayaran tertentu,” katanya.

Menurut Mohd Rosli, siasatan mendapati, bot terbabit baru menurunkan barangan di Pelabuhan Klang sebelum mengambil warga asing itu di lokasi dijanjikan.

“Semua yang ditahan dibawa ke jeti APMM Daerah Maritim Klang. Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu keluar/masuk melalui kawasan yang tidak diwartakan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang serta Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2016 @ 9:11am
d