mutakhir

Skuad JDT ziarah mangsa nahas

Seremban: “Saya reda. Segalanya sudah tertulis,” kata Zarul Hidayat Mokhtar, 32, yang kehilangan tiga insan tersayang dalam sekelip mata selepas terbabit kemalangan di Kilometer 279.3 dekat Nilai, pagi Isnin lalu.

Dalam kemalangan jam 3.30 pagi, Toyota Wish dinaiki Zarul bersama tujuh lagi ahli keluarganya dipercayai terbabas dan merempuh tiang elektrik di kiri lebuh raya lalu terbalik.

Zarul yang bekerja sebagai Pengurus Kanan di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata, kejadian itu mengakibatkan dia kehilangan isteri, Suzan Safarina Rosli, 30, serta anak dalam kandungan berusia lapan bulan dan adiknya, Nadiah Hidayatul, 28.

Kemalangan itu turut mengakibatkan anak dan adik Zarul, Maya Mayree, 2, dan Zulfahizzat, 27, parah manakala empat penumpang lain cedera ringan.

Mengimbau kembali tragedi berlaku, dia berkata, arwah isteri dijadualkan bersalin 27 Februari ini, namun segala-galanya berakhir.

Ketika kejadian, dia sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Seksyen 9, Shah Alam, Selangor selepas bercuti di Johor dan menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Selangor di Stadium Larkin.

Sementara itu, nasib Zarul mendapat perhatian pemain dan ketua jurulatih JDT yang meluangkan masa hampir 40 minit melawatnya dan anak perempuannya yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJ), semalam.

Zarul berkata, dia tidak menyangka nasib malang menimpa keluarganya mendapat perhatian pemain dan jurulatih skuad Harimau Selatan itu.

Disiarkan pada: February 19, 2016 @ 9:50am
d