mutakhir

Damailah Abu Ammar di sana

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Baru semalam kisah Abu Ammar Mustaqim Abu Bakar, 22, yang menderita kanser tulang tahap empat hingga tangan kirinya membengkak disiarkan di laman web Harian Metro (HM) dan hari ini di akhbar HM, namun Allah SWT lebih menyayanginya apabila pemuda itu meninggal dunia pada 5 pagi tadi.

Abu Ammar meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini ketika menerima rawatan.

Menurut bapanya, Abu Bakar Ali, 52, anak sulungnya itu dimasukkan ke hospital pada 10 malam tadi selepas wajahnya kelihatan pucat.

"Apabila melihat dia pucat kami membawanya ke hospital, namun anak saya meninggal dunia 5 pagi tadi.

"Sebelum menghembuskan nafas terkahir, dia kelihatan sangat letih," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

Abu Bakar berkata, jenazah anaknya dimandi dan dikafankan di HRPB pagi tadi dan dibawa ke Kampung Bukit Setiu di Terengganu, untuk dikebumikan di sana.

"Sesiapa yang berhasrat mahu menderma bagi membantu Abu Ammar diminta tidak berbuat demikian kerana anak saya sudah pergi buat selama-lamanya," katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak Rosmahwati Ishak, menziarahi pemuda itu di kediaman keluarganya di Anjung Bercham Elit, di sini.

Disiarkan pada: February 19, 2016 @ 5:40pm
d