mutakhir

Tetamu tak putus-putus

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Banting: “Sejurus kisah rumah kontena saya keluar di Harian Metro, ramai datang melawat, malah pada hari sama tujuh keluarga mengunjungi rumah ini,” kata pemilik rumah kontena, Muhamad Azree Abd Rahim, 26.

Menurutnya, selain tidak menang tangan melayan kunjungan tetamu, rumah kontenanya itu turut menjadi perhatian di laman sosial terutama Facebook.

Katanya, sebelum ini dia tidak terlalu terbuka menceritakan rumah kontena miliknya itu, namun kini dia lebih terbuka berkongsi maklumat.

“Ramai datang mahu melihat sendiri terutama bertanyakan kos membina rumah kontena ini.

“Kebanyakan yang datang golongan muda, malah ada suami isteri membawa mentua menunjukkan rumah kontena ini kerana mereka mahu membina rumah seperti ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Kisah Muhamad Azree membina rumah daripada kontena disiarkan akhbar ini Rabu lalu, malah turut dimuat naik dalam laman sosial.

Rumah dibina membabitkan empat kontena itu mempunyai empat bilik tidur utama, empat tandas, dua ruang tamu, dapur basah dan kering serta ruang pejabat.

Apabila siap kelak rumah dibina di Kampung Sijangkang itu dilengkapi dua kolam renang untuk kanak-kanak serta dua taman di bumbung.

Pemuda dari Kluang, Johor itu menggunakan modal permulaan RM75,000 yang dipinjam daripada bank untuk membeli tanah berharga RM35,000 manakala bakinya RM40,000 digunakan membeli kontena, upah pekerja dan membeli barangan berkaitan lain.

Muhamad Azree berkata, kebanyakan pengunjung datang menyatakan minat membina rumah kontena itu.

Mengenai perkembangan terbaru rumah kontenanya, Muhamad Azree berkata, ketika ini dia menyiapkan bahagian dapur serta tandas dan minggu depan akan melakukan pendawaian elektrik serta pembinaan taman.

Disiarkan pada: February 20, 2016 @ 5:35am
d