mutakhir

Ziarah mahabbah di kampung Orang Asli

Kuala Lumpur: Menyedari keperluan memastikan masyarakat Orang Asli beragama Islam terus mengamalkan syariat, Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) menganjurkan program dakwah dan kebajikan di Kampung Keeb Pos Legap, Sungai Siput, Perak baru-baru ini.

Program dakwah anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan kerjasama German-Malaysian Institute (GMI) itu turut disertai beberapa lepasan Sijil Pelajaran Malaysia Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS), Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, antara pengisian program ialah klinik solat dan bacaan al-Fatihah yang dijalankan serentak untuk kanak-kanak dan wanita dewasa.

“Kebanyakan penduduk Kampung Keeb mahu belajar dan mendalami Islam, namun dikekang tiada kemudahan terutama bagi golongan dewasa untuk belajar fardu ain.

“Aktiviti ziarah mahabbah dari rumah ke rumah juga dijalankan bagi menyantuni penduduk Orang Asli untuk memupuk kemesraan dengan pendakwah,” katanya.

Zulkifli berkata, kejayaan program seumpamanya hasil sumbangan rakyat Malaysia yang memberikan kepercayaan kepada Muslim Care untuk berdakwah.

Orang ramai yang bermurah hati dan prihatin boleh memberikan sumbangan kepada akaun Maybank milik Muslim Care di nombor 564490413882.

Disiarkan pada: February 20, 2016 @ 5:39am
d