mutakhir

'Rembat' di KL sorok di Pulau Pinang

Oleh Shamsul Munir Safini

Butterworth: ‘Rembat’ di Kuala Lumpur, sembunyikan di Pulau Pinang. Itu modus operandi empat lelaki daripada sindiket curi kereta dikenali Geng Estima yang dipercayai aktif mencuri kereta pelbagai guna (MPV) mewah di sekitar ibu negara sebelum menyembunyikannya di negeri ini.

Sumber berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar susulan penahanan empat lelaki yang lengkap bersenjatakan pistol di Lebuh Sungai Pinang, Georgetown, Selasa lalu.

Difahamkan, hasil penahanan semua suspek sejak Selasa lalu hingga kelmarin, polis merampas sekurang-kurangnya lapan kereta mewah yang disembunyikan di beberapa lokasi sekitar negeri ini dan ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, dalam Ops Lejang dilancarkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pihaknya menahan keempat-empat suspek yang bersembunyi di Georgetown hasil bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini.

Beliau berkata, dalam serbuan jam 4.30 petang, Selasa lalu, pihaknya menyerbu kereta dinaiki semua suspek di kawasan parkir, dekat sini, sebelum dapat menahan empat daripada lima suspek dan seorang dapat melarikan diri.

Menurutnya, semua suspek berusia 33 hingga 40 tahun itu ditahan sebelum disoal siasat dan hasil soal siasat, pihaknya merampas Toyota Vios, Toyota Estima dan Volkswagen yang disembunyikan di kawasan parkir itu lengkap menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Susulan itu, polis menemui sebuah Proton Inspira dan sebuah lagi Toyota Estima yang disembunyikan di Kuala Lumpur sehingga Rabu lalu,” katanya, di sini, semalam.

Katanya, setakat semalam, pihaknya menemui tiga lagi kereta mewah yang dicuri empat suspek terbabit menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan ditemui sejak Selasa hingga kelmarin lapan buah.

“Polis percaya banyak lagi kes kecurian kereta di sekitar Kuala Lumpur selain beberapa negeri terutama Pulau Pinang dapat diselesaikan berikutan penahanan semua suspek,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menahan reman semua suspek yang berasal dari Kedah, Perak dan Kuala Lumpur hingga Ahad ini dengan semua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk seorang yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau.

Menurutnya, sepucuk pistol jenis Cobra serta beberapa barangan berharga lain ditemui bersama suspek termasuk barangan kemas dan perkakas mencuri kereta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2016 @ 5:49am
d