mutakhir

Pusat judi simpan senjata tajam pertahan premis

Kuala Lumpur: Pihak polis kini lebih berwaspada berikutan ada antara pengendali premis judi simulator dikesan menggunakan senjata tajam termasuk parang untuk mempertahankan premis.

Mereka dikesan sengaja menyimpan pisau dan parang sebagai langkah berjaga-jaga selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekeliling premis.

Pemilik premis juga dikesan hanya membenarkan pelanggan tetap dikenali sahaja untuk berjudi bagi mengelak premis itu diserbu.

Taktik itu dibongkar selepas sepasukan anggota Skuad Taktikal Khas Antiperjudian, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman melakukan serbuan di sembilan premis judi sekitar Lembah Klang, awal pagi semalam.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, Ops Dadu berkenaan bermula jam 3 pagi membabitkan lokasi sasaran di Dengkil, Sepang, Kepong dan Jinjang di sini.

“Hasil serbuan itu, kami menahan 15 individu dipercayai penjaga premis membabitkan lima lelaki dan seorang wanita tempatan selain sembilan warga asing Indonesia dan Bangladesh.

“Lapan lelaki tempatan, seorang lelaki Bangladesh dan dua wanita warga Indonesia yang disyaki kaki judi turut ditahan dalam operasi itu. Semua yang ditahan berusia dari 26 hingga 52 tahun,” katanya.

Menurutnya, pihak STAGG merampas 309 unit komputer, satu unit mesin simulator, buku berkaitan perniagaan, pelbagai alat capaian Internet, tiga telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM4,932.

“Anggota polis turut merampas dua parang dan dua pisau dipercayai digunakan untuk melindungi premis judi itu,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen serta Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan Negeri Selangor.

“Bagi premis yang menyimpan senjata tajam, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2016 @ 7:36am
d