mutakhir

Siasat ceramah hina polis

Kuala Lumpur: Seorang lelaki mencetuskan rasa marah dalam kalangan anggota polis selepas menyampaikan ceramah agama berunsur fitnah dan menghina pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Video rakaman ceramah lelaki itu mula tersebar meluas kelmarin, dan mendapat pelbagai reaksi dikalangan pengguna laman sosial.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, berkata, seorang pegawai kanan polis yang bertugas di Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpur sudah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun HS Lee di sini, berhubung video itu.

“Kami membuat laporan polis dan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi akan menjalankan siasatan lanjut berhubung ceramah melampau itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan akan dijalankan ke atas lelaki berserban yang menabur kata-kata fitnah terhadap PDRM.

“Individu berkenaan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah,” katanya ketika dihubungi.

Dalam rakaman video itu, lelaki terbabit menyatakan anggota polis melakukan sekatan jalan raya ketika solat Jumaat dan gaji diterima anggota polis adalah haram.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam facebook rasminya menyatakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 22 dan 23 Oktober 1985 sudah membincangkan Sembahyang Jumaat pada anggota polis dan tentera yang bertugas.

Disiarkan pada: February 22, 2016 @ 8:02am
d