mutakhir

Cari dana RM2 juta bangun Masjid Cina Muhammadiah

Ipoh: Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Ipoh memerlukan dana sekitar RM2 juta bagi meneruskan pembinaan fasa kedua pusat dakwah di Masjid Cina Muhammadiah, Tasek dekat sini, selaras hasrat menjadikannya antara pusat dakwah masyarakat Cina utama di negara dan rantau ini.

Pembinaan masjid reka bentuk Cina itu sebelum ini mendapat sumbangan kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membabitkan kos pembinaan RM4.1 juta.

Pengerusi MACMA Cawangan Ipoh, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah berkata, pihaknya kini menubuhkan jawatankuasa khas mengumpul dana untuk pelaksanaan fasa kedua pusat dakwah yang lebih kondusif yang turut berfungsi sebagai tarikan pelancong termasuk pendakwah antarabangsa.

“Kita sudah selesai fasa pertama, kini kita memberi tumpuan fasa kedua pembinaan pusat dakwah yang mempunyai kemudahan lebih baik termasuk menyediakan pakar agama tempatan dan luar negara untuk bekerjasama dalam berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam Islam bersama penduduk tempatan terutama Cina muslim.

“Pada masa akan datang, kita meletakkan label syarat berpakaian tidak menjolok mata atau menyediakan pakaian khas bagi pelancong.

“Kami juga melantik pemandu pelancong berpengalaman berkenaan latar belakang masjid dan mahir menerangkan perihal kaitan antara seni bina dan agama yang digunakan dalam menzahirkan struktur bangunan ikon agama dan pendidikan ini,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MACMA Perak di masjid berkenaan semalam.

Terdahulu, program berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkipli.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Hussein.

Fadzli Cheah berkata, Masjid Cina Muhammadiah mencatat kehadiran ratusan pelancong tempatan dan antarabangsa terutama dari negara China setiap hujung minggu untuk melihat keunikan masjid cina berkenaan.

“Kami harap masjid ikon agama dan budaya ini boleh menarik semua kaum bersama-sama beraktiviti dan membentuk pemahaman ummah, kerana masjid ini bukan bukan milik orang Islam atau Cina sahaja, tetapi milik semua,” katanya sambil menjelaskan masjid itu mampu memuatkan lebih 1,000 jemaah paada satu-satu masa.

Disiarkan pada: February 22, 2016 @ 8:17am
d