mutakhir

Rentak harmonis berpasukan

Oleh Siti Farahiyah Aziz

Kuala Lumpur: Kerjasama dalam aktiviti berpasukan sangat penting bagi mewujudkan keharmonian sepanjang persembahan.

Wakil juara keseluruhan kategori drumline Muhd Hazuan Nasution Basharuddin, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John berkata, walaupun menjalani latihan saat akhir iaitu dua minggu sebelum pertandingan, komitmen setiap ahli membuatkan mereka cepat serasi.

“Setiap orang mempunyai peranan bagi membolehkan pergerakan sepanjang persembahan lancar.

“Kami juga menekankan teknik asas drumline dan menggunakan muzik iringan yang mudah, tetapi mempunyai rentak padu,” katanya di Dataran Merdeka sempena Pertandingan Drumline & Colorguard di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Tuan Idzawi Raja Ismail, Presiden Persatuan Pancaragam Malaysia (PPM) Datuk Zulkifli Ishak dan Setiausaha PPM Rozan Mohamed.

Ketua pasukan colorguard Sekolah Tun Fatimah Nur Syazwani Ahmad Tajuddin, 17, berkata, masa terhad menyebabkan semua ahli fokus semasa latihan supaya kurang kesilapan.

“Walaupun ada jurulatih membantu, tapi peranan saya memimpin pasukan khususnya semasa persembahan sangat penting sebagai panduan pergerakan ahli lain.

“Kami tidak sangka dinobatkan juara keseluruhan kategori colorguard, tetapi saya bangga apabila setiap peserta menunjukkan kreativiti tersendiri,” katanya.

Juara keseluruhan pertandingan bagi kategori drumline dan colorguard membawa pulang RM1,000, trofi dan sijil penyertaan.

Sementara itu, Idzawi berkata, pertandingan disertai 13 pasukan dari seluruh negara itu sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016 sebagai pengisian bermanfaat kepada masyarakat.

“Anjuran kali keempat bersama PPM ini usaha memberi peluang kepada sekolah dan institusi mengisi masa terluang dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

Pemenang pertandingan bakal meneruskan langkah ke peringkat antarabangsa Oktober ini di ibu negara.

Disiarkan pada: February 22, 2016 @ 8:19am
d