mutakhir

Antara terbaik di ASEAN

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, Malaysia sudah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar lima peratus untuk tahun 2015,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kejayaan itu lebih bermakna kerana unjuran itu diperoleh dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan tidak menentu.

“Pencapaian ekonomi Malaysia ini meletakkan kita antara yang terbaik di rantau ASEAN,” kata beliau dalam catatan terkini di blog NajibRazak.com semalam.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan supaya tidak leka dengan pencapaian berkenaan.

Sebaliknya beliau mahu semua pihak di negara ini terus mengambil langkah proaktif untuk menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat supaya tiada yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

“Saya yakin kita akan dapat mengharungi cabaran ekonomi global dan memastikan ekonomi Malaysia kekal kukuh dan stabil pada landasan yang tepat, Insya-Allah,” katanya.

Khamis lalu Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pertumbuhan berkenaan, sekali gus mengatasi unjuran yang dibuat beberapa penganalisis tempatan dan antarabangsa termasuk ramalan Bank Dunia serta Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Menurut bank pusat itu KDNK yang dicatatkan bagi suku keempat ialah 4.5 peratus, susut sedikit berbanding suku ketiga 4.7 peratus, suku kedua 4.9 peratus dan suku pertama 5.6 peratus.

KDNK lima peratus itu menepati sasaran yang dibuat kerajaan sebelum ini iaitu antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus.

Kata BNM, keupayaan Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.5 peratus pada suku keempat disokong permintaan sektor swasta.

Penganalisis antarabangsa termasuk Bank Dunia dan IMF sendiri meramalkan Malaysia bakal mencatatkan pertumbuhan sederhana pada antara 4.4 peratus dan 4.8 peratus.

Disiarkan pada: February 22, 2016 @ 8:25am
d