mutakhir

22 tahun bantu rawat haiwan

Oleh Rosyahaida Abdullah

Temerloh: Seperti manusia, haiwan juga mengalami sakit pening dan tentu sekali penyakit antara punca kematian.

Disebabkan itu, perlunya kakitangan yang khusus untuk memantau tahap kesihatan setiap gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, di sini, bagi memastikan mamalia terbabit terus dipulihara.

Bagi Penolong Pegawai Veterinar PKGK Ahmad Abd Ghani, menyertai pusat konservasi itu pada April 2012 memberi kelainan dalam caranya merawat haiwan.

Berbekalkan pengalaman selama 22 tahun di Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebelum ini, lelaki berusia 53 tahun ini mengakui kemahiran sedia ada banyak membantunya menyesuaikan keadaan ketika merawat gajah.

“Setiap haiwan melalui rutin dan mempunyai tabiat berbeza. Disebabkan itu, rawatan dan pemeriksaan kesihatan untuk setiap haiwan perlu disesuaikan dengan keadaan mereka.

“Misalnya, menjadi tabiat gajah di sini untuk bergesel pada tiang hinggakan kulitnya melecet dan luka. Ia memerlukan rawatan asas dengan segera bagi memastikan ia tidak merebak,” katanya.

Menurut Ahmad, setiap tahun sekurang-kurangnya tiga kali darah setiap gajah di PKGK diambil sebelum dihantar ke makmal veterinar di Kuantan, Pahang untuk memeriksa keadaan kesihatan.

Begitu juga dengan najis gajah yang bukan saja boleh mengetahui keadaan kesihatannya pada ketika itu, malah dapat mengenal pasti umur serta mengukur ketinggian gajah.

“Ada kalanya gajah akan membuang najisnya sambil berjalan. Melaluinya najis yang jatuh ini kita boleh mendapatkan anggaran ketinggiannya mengikut formula tertentu.

“Ujian juga boleh dilakukan pada najis gajah untuk mengenal pasti umurnya asalkan ketika itu kesihatan gajah berkenaan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Ahmad menjelaskan, kesihatan gajah bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Sama seperti manusia dan haiwan lain, jika tidak dirawat, penyakit dihidapi gajah berupaya membawa kematian meskipun cuma masalah cacing.

Katanya lagi, meskipun gajah di PKGK adalah gajah liar yang diselamatkan, hakikatnya mereka juga terdedah dengan penyakit dan ancaman kepupusan boleh berlaku jika tidak dibendung atau dirawat sebagaimana sepatutnya.

“Banyak perkara yang kita lakukan secara berkala dalam usaha konservasi untuk gajah.

“Antaranya, melakukan ujian terhadap air bukit yang menjadi air minum serta air sungai yang menjadi tempat mandi mereka setiap tiga bulan bagi memastikan ia tidak tercemar,” katanya.

Lumrahnya, jangka hayat gajah liar adalah sekitar 80 tahun namun mampu mencecah sehingga 100 tahun jika membesar di pusat konservasi seperti PKGK.

Disiarkan pada: February 23, 2016 @ 8:16am
d