mutakhir

Martabat status profesor

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Majlis Profesor Negara (MPN) menyediakan kertas Jemaah Menteri kepada kerajaan dalam tempoh terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik memartabatkan kedudukan ahli akademik dan profesor di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, antara cadangan yang bakal dikemukakan termasuk melanjutkan had persaraan profesor bagi memastikan kelompok akademik itu dapat berkhidmat lebih lama di universiti tempatan.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan kepada kerajaan supaya had persaraan profesor dilanjutkan kepada 65 tahun berbanding 60 tahun ketika ini.

“Sebagai makluman, separuh daripada jumlah 2,254 profesor di negara ini berusia lebih 55 tahun. Namun, amat mengecewakan apabila khidmat mereka ditamatkan apabila usia 60 tahun sedangkan kebanyakan profesor di negara ini dilantik pada usia 50 hingga 55 tahun.

“Saya difahamkan, profesor di kebanyakan negara bersara pada usia 65, malah sebahagian mereka terus berkhidmat selagi diperlukan,” katanya pada sidang media sejurus Perbincangan Meja Bulat ‘Profesor Kontrak di Universiti Awam Malaysia’ di sini, semalam.

Katanya, sebagai contoh, had persaraan profesor di Indonesia ditetapkan pada usia 70 tahun manakala; Singapura, Kanada dan United Kingdom ditetapkan pada usia 65 tahun.

Dr Raduan berkata, proses pelantikan profesor mengambil masa panjang malah, ia memerlukan kelulusan dan pengiktirafan dunia.

Katanya, adalah kerugian sekiranya khidmat mereka ditamatkan apabila usia mencecah 60 tahun sedangkan mereka baru saja dilantik sebagai profesor.

“Sebagai negara membangun, negara tidak harus kehilangan kelompok ilmuwan ini. Jika dihitung dari segi ringgit dan sen, perbelanjaan menjadikan seorang ahli akademik sebagai profesor mencecah RM3 juta,” katanya.

Katanya, kedudukan profesor tempatan kini dalam dilema kerana kerjaya mereka diletakkan dalam skim perkhidmatan awam, malah disamakan dengan penjawat awam lain termasuk tempoh persaraan pada usia 60 tahun.

Dr Raduan berkata, pihaknya berpendapat sudah tiba masanya satu mekanisme baru diperkenalkan bagi membezakan kedudukan profesor berbanding penjawat awam lain bagi mengelak kehilangan tenaga akademik dan ilmuwan ini.

Katanya, pihaknya juga mencadangkan supaya diwujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Tinggi bagi membolehkan lebih 70,000 ahli akademik universiti tempatan dimartabatkan.

“Selain itu, kami juga mahu bajet strategik diperuntukkan bagi memastikan kebajikan profesor terjamin dan tidak boleh dimasukkan dalam bajet pengurusan biasa yang selama ini bawah pengurusan universiti.

“Universiti tempatan juga perlu ada perancangan menggunakan sumber kewangan sedia ada bagi memelihara kebajikan profesor kontrak,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2016 @ 8:28am
d