mutakhir

292 korban api

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Oleh Mohd Hasbi Sidek

mohd.hasbi@hmetro.com

Subang Jaya: Fakta menakutkan apabila seramai 292 mangsa ‘hilang nyawa’ dalam kebakaran di seluruh negara dalam tempoh dua tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, statistik bomba mendapati jumlah kematian meningkat daripada 139 mangsa pada tahun 2014 kepada 153 mangsa pada tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan sebanyak 10 peratus amat membimbangkan dan diberi perhatian serius.

“Selain itu pihak bomba menganggarkan nilai kerugian sebanyak RM4.4 billion akibat kejadian kebakaran di seluruh negara sepanjang 2015 dan angka itu adalah tertinggi sehingga kini.

“Peningkatan kebakaran membabitkan kilang menyebabkan anggaran kerugian meningkat,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini, semalam.

Seramai 105 anggota dan pegawai menerima sijil penghargaan anugerah cemerlang pada majlis itu.

“Kebakaran kilang menyebabkan kemusnahan lebih besar berikutan struktur bangunan dan pelbagai alatan hangus dijilat api. Sebanyak 90 kejadian kilang terbakar dilaporkan berlaku di Selangor tahun lalu.

“Pada 2015, pihak JBPM menerima sebanyak 80,183 panggilan kecemasan, atau purata 220 panggilan sehari.

Walaupun bilangan panggilan kecemasan menurun pada tahun lalu namun nilai kerugian harta benda yang musnah dalam kebakaran terus meningkat daripada RM2.8 bilion pada 2014 kepada RM4.4 bilion pada 2015,” katanya.

Menurutnya, banyak langkah perlu diambil bagi mengelak kejadian kebakaran membabitkan kilang dengan melakukan pemeriksaan ke premis selain mengajar kemahiran menghadapi kecemasan kepada pekerja.

“Kebakaran kilang bukan hanya membabitkan kerugian yang boleh dilihat dengan mata kasar a malah ia turut membabitkan kerugian dari segi peluang pekerjaan yang hilang dan ketidakupayaan untuk menghasilkan produk,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2016 @ 8:31am
d