mutakhir

Nasir Bomba dihargai

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Subang Jaya: Jagoan sukan dart Asia yang mengharumkan nama pasukan bomba serta Malaysia, Mohd Nasir Jantan, 43, bangga apabila kejayaannya itu dihargai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Anggota bomba dan penyelamat Balai Petaling Jaya itu menerima sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dalam majlis khas di hotel di sini, semalam.

Mohd Nasir berkata, anugerah berkenaan kali ketiga diterima sejak berkhidmat dengan JBPM bermula 1993.

“Cuma anugerah kali ini berbeza apabila pihak JBPM lihat kecemerlangan saya dalam sukan dart di peringkat antarabangsa.

“Malah saya turut membawa nama bomba apabila menggunakan nama samaran ‘Nasir Bomba’ dalam setiap pertandingan di peringkat dunia. Pencapaian paling tinggi saya kecapi menerusi kejohanan Asia Pasific Cup (APC) tahun 2014 di Hong Kong apabila berjaya merangkul tempat pertama dan melayakkan saya menduduki ranking nombor satu peringkat Asia ketika itu,” katanya.

Seramai 105 anggota dan pegawai menerima sijil penghargaan anugerah cemerlang disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim.

Antara turut menerima anugerah dalam majlis berkenaan Ketua Unit Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Selangor Penguasa Bomba Hissam Sidik.

Hissam memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat bencana dan operasi kepada media di Selangor.

Sementara itu, Wan Mohd Nor dalam ucapannya berkata, anugerah berkenaan membuktikan kerajaan sentiasa komited dalam mengiktiraf budaya kerja cemerlang.

“Penjawat awam menunjukkan komitmen tidak berbelah bagi dalam menjalankan tugas serta mempunyai integriti tinggi memperoleh pelbagai anugerah dan ganjaran,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2016 @ 9:05am
d