mutakhir

SKMM cadang kaji keperluan daftar portal berita

Oleh myMetro

Melaka: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bercadang melakukan kajian berhubung keperluan mendaftarkan semua portal berita dalam talian di negara ini bagi mengekang penyebaran maklumat palsu atau berita tidak sahih melalui Internet.

Timbalan Menterinya Datuk Jailani Johari berkata, kajian itu perlu berikutan belum ada sebarang akta di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan keperluan mendaftarkan portal dalam talian di negara ini.

“Ada di antara portal ini menyiarkan berita yang tidak jelas kesahihannya. Mungkin selepas pendaftaran, pengendali portal akan lebih berhati-hati sebelum menyiarkan sebarang berita,” katanya selepas perasmian program Wacana Media Sosial: Viral16 di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Kampus Lendu di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Koperasi Datuk Latiff Tamby Chik dan Rektor UiTM Melaka Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim.

Dalam perkembangan lain, Jailani berkata, SKMM menerima 34 aduan berkaitan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial sepanjang 2015 hingga 4 Februari lalu.

“Daripada jumlah itu, 16 kes sudah didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sepanjang tahun lalu manakala dua lagi kes dirujuk ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan tahun ini.

“Kami sedang melakukan siasatan terhadap 12 lagi kes. Setakat ini, pesalah yang disabit kesalahan di bawah akta ini hanya didenda dan belum ada yang dijatuhi hukuman penjara,” katanya.

Sementara itu, Mohd Adnan berkata, program Viral16 dianjurkan bertujuan untuk meneliti isu dihadapi pengguna media sosial selain meningkatkan pemahaman berkaitan fenomena viral di negara ini.

“Penganjuran program seperti ini dapat membantu mewujudkan landasan bagi membincangkan serta berkongsi idea mengenai isu viral yang sebahagian besarnya membabitkan golongan belia sebagai kumpulan demografik pengguna terbesar media sosial,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2016 @ 9:36am
d