mutakhir

GRO menggatal di medan selera [METROTV]

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Mereka cuba berlakon, tetapi cara berpakaian yang tidak menggambarkan sebagai pelanggan sebuah medan selera menyebabkan helah sekumpulan wanita warga asing gagal mengaburi pihak berkuasa dalam serbuan di Lorong Madras, di sini, malam kelmarin.

Kumpulan wanita berkenaan didapati bersosial dengan pelanggan di medan selera itu dalam usaha mendapatkan tip, namun mereka dicekup anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) hasil intipan dan pemantauan dilakukan, kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam pemeriksaan itu, 12 wanita warga China dan tiga Vietnam berusia 23 hingga 40 tahun ditahan kerana disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua wanita warga asing itu disyaki melanggar syarat pas lawatan dengan cara bersosial bersama pelanggan di medan selera berkenaan.

“Siasatan mendapati mereka bersosial semata-mata untuk dapat tip daripada pelanggan dan aktiviti kurang sihat itu dikhuatiri boleh mendorong kepada perbuatan maksiat.

“Sebelum ini, kami sudah memantau aktiviti berkenaan sejak beberapa bulan lalu sebelum serbuan dibuat dan polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai penjaga dan wanita terbabit ditahan kerana disyaki bekerja tanpa permit sah, melanggar syarat pas lawatan sosial dan tiada dokumen perjalanan sah,” katanya.

Menurutnya, mereka dibawa ke IPDTL untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) dan 39(b) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki permit kerja serta menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Katanya, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 55(b) akta sama iaitu melindungi dan menggajikan pekerja warga asing tanpa kebenaran yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-dua sekali.

Dalam operasi sama, polis turut mengambil tindakan terhadap sebuah pusat simulator di Lorong Madras jam 10.50 malam.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu, polis mendapati pengusaha premis berkenaan belum membuat sebarang permohonan lesen hiburan tambahan untuk dua mesin permainan dart.

Disiarkan pada: February 25, 2016 @ 9:42am
d