mutakhir

AADK 'ziarah' pusat hiburan

Oleh Mohd Fadly Shamsuddin dan Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Cubaan beberapa penagih dadah bersembunyi untuk melepaskan diri daripada ditahan ternyata sia-sia apabila mereka dicekup pegawai penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (OPS-BAH) di sekitar pusat bandar raya ini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 11 malam kelmarin, anggota AADK bersama agensi penguatkuasa lain menyerbu masuk beberapa premis hiburan di kawasan Pudu dan Jalan Sungai Besi.

Hasil pemeriksaan itu, seramai 34 pengunjung yang juga penagih dadah berjaya ditahan menerusi operasi Ops Bah Siri 21 terbabit.

Operasi turut berjaya menemui pelbagai jenis dadah yang dipercayai dibawa oleh penagih ke pusat hiburan berkenaan.

Selain itu, seramai 37 wanita beragama Islam turut ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selepas didapati bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan.

Tujuh lagi individu lelaki turut ditahan selepas didapati meminum minuman yang memabukkan dan 19 lagi diberi notis perintah hadir ke pejabat JAWI untuk disiasat kerana bersubahat.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Nor’ Aini Abdul Wahab berkata, pihaknya menyedari kegiatan penyalahgunaan dadah di pusat hiburan dan berusaha membanterasnya.

Katanya, sebelum ini pihaknya melakukan serbuan ke rumah kosong yang ditinggalkan atau pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR), tetapi kali ini menumpukan ke pusat hiburan.

“Operasi seumpama ini memerlukan kerjasama dari semua pihak. Kita bukan sahaja membanteras melalui tangkapan tetapi juga proses pemulihan selepas itu.

“Kegiatan penagihan dadah boleh dianggap serius dan golongan ini perlu dipantau melalui operasi berterusan untuk membendung daripada terus berleluasa,” katanya pada sidang media selepas operasi itu, semalam.

Menurutnya, semua agensi penguatkuasaan sentiasa bekerjasama termasuk AADK bagi memantau kawasan perumahan PPR dan pusat hiburan dari semasa ke semasa

“Selain itu, operasi di pusat hiburan juga berjaya memantau kelab malam yang melanggar peraturan termasuk yang beroperasi tanpa lesen,” katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2016 @ 8:38am
d