mutakhir

RM50 setiap tan padi

Oleh Suzaini Sulaiman

Sabak Bernam: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memberikan insentif tambahan sebanyak RM50 bagi setiap tan metrik padi kepada pesawah seluruh negara bermula 1 Mac ini.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, insentif input pengeluaran padi itu bakal mengurangkan beban pesawah berikutan potongan mutu padi yang tinggi sehingga lebih 20 peratus.

Beliau berkata, selain insentif berkenaan, pesawah juga mendapat subsidi padi RM300 bagi setiap tan metrik padi yang menjadikan jumlah keseluruhan ialah RM350 dan ia mencukupi untuk menampung kos pembajakan tanah dan penuaian padi.

“Tambahan tunai yang diberikan kepada pesawah sebagai insentif input pengeluaran padi dijangka membabitkan hasil keluaran lebih 2.8 juta tan metrik padi.

“Pembayaran itu diberikan kepada pesawah pada Mac ini, tetapi kami akan lihat untuk memberi juga kepada pesawah yang menuai padi pada bulan lalu.

“Kerajaan sentiasa mencari jalan untuk membantu serta mengurangkan beban golongan pesawah dan petani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Agrobazar Rakyat 1Malaysia Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Wisma PPK Sungai Besar, di sini, semalam.

Dalam pengubahsuaian Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 bagi setiap tan metrik padi sebagai insentif input pengeluaran padi untuk membela nasib pesawah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata, Agrobazar Rakyat 1Malaysia PPK Sungai Besar yang mula beroperasi pada Oktober tahun lalu membolehkan orang ramai membeli pelbagai produk agro makanan pada harga berpatutan.

“Premis berkonsepkan pasar mini ini antara inisiatif kerajaan seperti yang terdapat di Kedai Rakyat 1Malaysia.

“Agrobazar membolehkan pemasaran hasil keluaran petani, nelayan dan penternak dibuat tanpa melalui orang tengah,” katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2016 @ 9:29am
d