mutakhir

Puas hati kerja bersih bauksit

Kuantan: Semua agensi yang terbabit pelaksanaan moratorium bauksit di negeri ini sejak pertengahan Januari lalu melaksanakan tugas dengan baik.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau berpuas hati dengan operasi pembersihan sisa bauksit di laluan dan kawasan terjejas.

Pada masa sama pihaknya mendapati operasi pemantauan dan penguatkuasaan yang dilakukan agensi berkaitan berhubung perkara itu lancar.

“Saya puas hati dengan perkembangan (pelaksanaan) moratorium dan tindakan yang diambil agensi kerajaan Pusat dan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat tertutup bersama agensi berkaitan berhubung moratorium bauksit di Lembaga Pelabuhan Kuantan (KPC) di sini, semalam.

Taklimat dua jam itu turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azizan Ahmad.

Wan Junaidi turut meninjau kawasan simpanan bauksit berhampiran Pelabuhan Kuantan.

Sebelum ini, Kabinet mengarahkan semua aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Kuantan, Pahang dihentikan selama tiga bulan, mulai 15 Januari.

Moratorium atau perintah penggantungan sementara itu bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri merangka pelan tindakan penyelesaian pencemaran berhubung aktiviti itu.

Ia membabitkan operasi pembersihan laluan di kawasan terjejas akibat aktiviti perlombongan dan lori bauksit.

Selain itu, semua stok bauksit di 11 pusat pengumpulan dikeluarkan dan dihantar ke satu pusat pengumpulan yang diumumkan kemudian.

Disiarkan pada: February 27, 2016 @ 7:59am
d