mutakhir

'Sangkut' dalam semak tebal

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Rembau: “Kami terserempak dengan seorang lelaki dan dua wanita yang menggunakan laluan itu. Kami fikir, ia laluan sebenar sebelum memulakan pendakian,” kata Muhd Fakhriza Menhuri, 26, menceritakan detik mendebarkan ketika sesat di Gunung Datuk di sini, kelmarin.

Muhd Fakhriza bersama lima rakan sekerjanya iaitu Ahmad Hafizudin Hadi, 27, Mohd Adli Sazali Rosli, 28, Mohd Zakhiruddin Zulkifli, 26, Mohd Faiz Nazmi, 26, dan Nor Ain Mohd Bukhari, 19, sesat di gunung berkenaan selepas memulakan pendakian seawal jam 5 pagi.

Menceritakan kejadian itu, dia berkata, sebelum memulakan pendakian, mereka terserempak dengan tiga individu sedang menuruni laluan di kaki gunung berkenaan.

“Jadi, kami berpendapat, ia laluan sebenar sebelum memulakan pendakian. Bagaimanapun, selepas berapa jam mendaki, kami tidak menemui laluan sebenar sebaliknya terpaksa merempuh semak-samun tebal.

“Ketika itu, kami mula keletihan dan sepakat untuk turun. Kami menggunakan laluan pendakian tapi malangnya, kami buntu mencari jalan keluar.

“Kami kemudian membuat unggun api untuk menghalau binatang buas selain menarik perhatian orang. Pada masa sama, kami cuba mencari nombor renjer hutan namun gagal.

“Kami seolah-olah hilang arah sebelum bertindak menghubungi bomba. Pada masa sama, usaha kami keluar tidak berhasil kerana semua mereka keletihan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau Mohd Fuad Majid berkata, pasukan penyelamat mendengar suara memanggil namun disebabkan tiupan angin, ia sukar menentukan kedudukan mangsa.

“Usaha kami mengambil masa 20 minit sebelum mereka ditemui selamat. Pasukan penyelamat tiba di lokasi jam 10.03 pagi dengan menggunakan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang diberi mangsa sebaik membuat panggilan memaklumkan mereka tidak menemui jalan keluar.

“Apabila tiba kordinat GPS itu, mangsa tidak dijumpai namun jeritan pasukan kami disambut kumpulan pendaki terbabit. Bagaimanapun, tiupan angin menyebabkan kami sukar mengesan kedudukan berdasarkan laungan dilontarkan kepada kami.

“Pada masa sama, ia bukan laluan sebenar dan pasukan penyelamat terpaksa menempuh semak tebal serta laluan sempit sekali gus menyukarkan operasi mencari mereka,” katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun, operasi berhasil apabila pasukan penyelamat menemui semua mangsa yang juga kakitangan sebuah syarikat swasta di Rawang, Selangor jam 2.45 petang.

Katanya, seramai 12 anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, tujuh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dua renjer hutan serta dua anggota polis terbabit dalam operasi menyelamatkan mangsa.

“Semua mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari aras laut dan hampir dua kilometer dari laluan sebenar. Keadaan mangsa lemah disebabkan kehabisan bekalan makanan dan minuman namun tiada antara mereka cedera dalam insiden itu.

“Ketika ditemui, ada antara mereka berbaring dan bersandar pada pokok. Kami kemudian memberi air supaya mereka kembali bertenaga.

“Maklumat diterima mendapati mereka mendaki gunung itu buat kali pertama dan disebabkan terlalu lama sampai ke puncak, mereka sepakat turun semula ke kaki gunung.

“Ketika itulah, mereka tidak pasti laluan sebenar sebelum mengambil keputusan melalui lorong salah. Semua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tampin, dekat sini untuk rawatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2016 @ 5:14am
d