mutakhir

Lonjak keluaran daging

Oleh myMetro

Hulu Terengganu: Pusat Ternakan Haiwan Tersat (PTHT), di sini, bukan hanya dapat memenuhi permintaan pengeluaran daging negara, malah memberi peluang kepada usahawan muda berkecimpung dalam industri ternakan di Terengganu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kewujudan dan pemantapan ladang fidlot komersial antara pendekatan digariskan di bawah dasar pengeluaran daging lembu negara.

Menurutnya, pembabitan usahawan muda dan pihak swasta secara besar-besaran dalam penternakan secara fidlot dengan sistem pengeluaran serta pemasaran secara bersepadu dijangka dapat membantu melonjakkan prestasi pengeluaran daging.

“Bagaimanapun, pembabitan pihak swasta tidak berlaku dengan mudah berikutan minat pelabur yang rendah kesan daripada kekangan antaranya kekurangan tanah dijadikan ladang, kos pelaburan infrastruktur dan tempoh matang lama serta pulangan pelaburan kecil.

“Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan bercadang menyediakan kemudahan terbabit bagi menarik pelabur dan usahawan muda berkecimpung dalam bidang itu,” katanya pada sidang media selepas melawat Ladang Satelit PTHT, di sini, semalam.

Menurutnya, projek ladang satelit di seluruh negara berskala komersial diwujudkan dengan menyokong keperluan input pusat fidlot negara dan menjadi pemangkin dalam pembangunan industri daging.

Katanya, di negara ini terdapat 67 unit kandang satelit dan lapan daripadanya terdapat di PTHT dan dua unit di Chermin Kiri, Dungun.

“Ladang satelit di Hulu Terengganu ini dibangunkan di atas tanah seluas 2,000 hektar. Projek ladang itu bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dengan kos pembangunan projek RM13.86 juta siap sepenuhnya Disember 2011.

“Kawasan dibahagikan kepada dua blok iaitu blok satu sebagai tanaman rumput seluas 36 hektar dan blok dua untuk kawasan kandang serta stor seluas sembilan hektar,” katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2016 @ 5:18am
d