mutakhir

Yayasan 1Malaysia rintis tapis air luar bandar

Oleh myMetro

Julau: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memuji inisiatif Yayasan 1Malaysia yang merintis penggunaan kaedah mikro hidro dan penapisan air di kawasan luar bandar di negeri ini.

Najib berkata, kaedah itu perlu diperluaskan ke seluruh negeri ini terutama di kawasan yang dikenal pasti masih belum menikmati bekalan elektrik dan air bersih.

Menurut beliau, keberkesanan kaedah berinovasi itu berupaya menjadi sumber alternatif kepada penduduk di kawasan luar bandar bagi membolehkan mereka menerima kemudahan bekalan terbabit.

“Kita mahu membantu rakyat, malah banyak projek lain melalui Yayasan 1Malaysia di bawah 1MDB (1Malaysia Development Berhad) ini sudah dilaksanakan seperti sistem memadam api, baik pulih rumah, projek tenaga solar dan program sekolah angkat.

“Sehingga kini, Yayasan 1Malaysia sudah melaksanakan 1,431 projek yang memberi faedah kepada penduduk di pedalaman dan luar bandar di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau perkembangan projek berkenaan di Rumah Panjang Jawang, Bukit Seri, semalam yang juga sebahagian daripada atur cara lawatan kerjanya ke Sarawak.

Turut mengiringinya Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Majlis Penasihat Yayasan 1Malaysia Sarawak (1M Sarawak) Datuk Joseph Salang Gandum.

Pada masa sama, Najib berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai cadangan menaik-taraf laluan penghubung ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Jambu dan SK Nanga Kemalih, di bawah Projek Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, di Kampung Rantau Panjang, Kuching, Najib berkata, beliau ada berbincang dengan pegawai pendidikan negeri untuk menempatkan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang ke kawasan baru.

“Sekolah ini dibina di lokasi sempit dan kerap dilanda banjir. Kita akan pindahkan sekolah ini ke lokasi baru demi keselesaan murid juga guru.

“Bagi masalah banjir kilat dan hakisan sungai yang berlaku di kampung ini kesan daripada banjir 9 Februari dan 20 Februari lalu, saya akan berbincang dengan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai tindakan yang harus diambil untuk mengatasinya,” katanya.

Najib menjelaskan tindakan diambil bukan kerana menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) sebaliknya ia untuk kesejahteraan penduduk negeri ini.

Disiarkan pada: February 29, 2016 @ 5:19am
d