mutakhir

Lupa kali terakhir sambut hari jadi

Oleh myMetro

Kangar: “Ada satu ketika, saya sendiri sudah terlupa bilakah kali terakhir saya menyambut hari lahir.”

Begitu kata Mohd Annas Md Isa, 28, yang dilahirkan pada 29 Februari 1988 sehingga keunikan itu menyebabkan ada-kalanya dia sendiri terlupa tahun yang mempunyai angka 29 pada bulan Februari.

“Saya akui lahir pada tahun lompat ini mempunyai keunikannya tersendiri kerana ia hanya datang empat tahun sekali dan dalam tahun itu sajalah barulah saya dapat merasa dan melihat angka 29 itu,” katanya.

Mohd Annas yang bertugas sebagai eksekutif di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di Jejawi, di sini, berkata, walaupun hanya dapat menyambut hari lahirnya apabila tiba tahun lompat, dia merasakan dirinya istimewa.

“Saya tidak pernah berasa tersisih atau iri hati apabila melihatkan isteri, anak, adik-beradik dan rakan lain menyambut atau bertemu dengan hari lahir mereka setiap tahun bahkan saya berasa diri cukup istimewa,” katanya.

Dia yang juga anak kedua daripada empat adik beradik berkata, keistimewaan yang dimaksudkan apabila dia menjadi tumpuan isteri, adik-beradik dan rakannya setiap kali ketibaan tahun lompat.

“Disebabkan jarang menyambut hari lahir menyebabkan saya lupa atau tidak ambil kisah tentang tarikh kelahiran, tetapi isteri dan ahli keluarga akan menjadi peringatan bahawa tahun lompat sudah tiba bermakna pada Februari itu mempunyai tarikh 29 hari bulan,” katanya.

Mohd Annas yang mendirikan rumah tangga dengan Ira Nadia Ros Kelana, 27, sejak dua tahun lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia tiga bulan berkata, ketika perkenalan dengan isterinya ketika menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS), wanita itu juga agak terkejut apabila dia memberitahu tarikh lahirnya pada 29 Februari.

“Malah, isteri saya juga sempat berseloroh dengan menyatakan saya beruntung kerana jimat belanja tidak perlu untuk menyambut hari lahir tiap tahun,” katanya.

Katanya, sepanjang ingatannya setakat ini baru lapan kali dia menyambut hari lahirnya.

“Dari 1988 sehingga sekarang, saya rasa lapan kali saja dapat melihat tarikh 29 Februari ini. Jika masih kecil memang ada juga sambut secara kecil-kecilan, tetapi apabila sudah dewasa seperti sekarang saya sudah kurang membuat sambutan hari lahir,” katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2016 @ 5:57am
d