mutakhir

Hanya sebagai penanda

Oleh Siraj Mohd Zaini dan Ayusliza Azizan

Shah Alam: Hukum meletakkan batu nisan di kubur adalah harus jika ia bertujuan dijadikan tanda untuk memudahkan waris mencari ketika menziarahi kubur warisnya tanpa ada unsur riak.

Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, batu nisan penting untuk menjadi tanda bahawa terdapat jenazah ditanam di kawasan terbabit bagi mengelak ia digali semula.

“Bagaimanapun, Islam melarang keras meletakkan batu nisan melebihi ketinggian sepatutnya bertujuan menunjuk-nunjuk, cukuplah hanya sebagai tanda.

“Perkara terbabit bagi mengelak berlakunya pemujaan jika dibuat bagi kelihatan hebat, malah menimbulkan kebimbangan ada pihak mengambil kesempatan,” katanya.

Dr Wan Salim berkata, bagi binaan kekal seperti kepok ia dilarang sama sekali kerana mayat yang ditanam mereput dalam tempoh 15 tahun dan tapak kubur itu boleh digali semula bagi menempatkan jenazah baru.

Katanya, masyarakat serta umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya tidak membazir dengan membelanjakan ribuan ringgit untuk batu nisan dan kepok.

Menurutnya, membazirkan harta dan wang ringgit adalah haram kerana ada unsur pembaziran walaupun seseorang itu mampu.

Dalam pada itu, Dr Wan Salim berkata, tidak wujud atau terdapat perintah mengenai syarat umat Islam perlu melakukan sesuatu amalan sebelum meletakkan batu nisan pada kubur.

“Sekiranya ada, ia boleh jatuh bidaah iaitu mewujudkan sesuatu yang tiada dalam agama kita.

“Saya berharap masyarakat Islam dapat mematuhi peraturan di negara kita, termasuk dengan pengebumian, buat apa yang agama kita suruh, buat bukan untuk tujuan riak dan yang penting keluarga perlu menghadiahkan pahala kepada si mati,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2016 @ 9:15am
d