mutakhir

Dua dituduh rompak bersenjata

Oleh myMetro

Temerloh: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di bandar ini, bulan lalu.

Shaizul Aziram Shamsuddin, 40, dan Badrul Isham Azmi, 34, bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di depan Majistret, Najwa Hashim.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, Shaizul Aziram dan Badrul Isham bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa cuba melakukan atau bersubahat melakukan rompakan bersenjata di depan Ambank Temerloh, di sini, jam 11.20 malam, pada 25 Januari lalu.

Tertuduh didakwa membawa atau ada dalam milikan atau di bawah kawalan ada senjata api dan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan kepada Mohd Haikal Rosli, 30.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustafa manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan supaya kedua-dua tertuduh tidak dibebaskan dengan jaminan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Mac depan.

Disiarkan pada: March 1, 2016 @ 9:41am
d