mutakhir

Rafflesia berisiko pupus

Oleh myMetro

Gua Musang: Hakisan dan pembangunan pertanian yang pesat menyebabkan Rafflesia atau bunga pakma di Lojing, di sini, berisiko pupus dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Zulhazman Hamzah berkata, jangkaan hayat itu berikutan jumlah kudup dan bunga mekar yang sudah berkurangan sebanyak 30 peratus sejak setahun lalu.

“Saya bersama 30 kakitangan UMK dan Persatuan Pencinta Alam Kelantan mendaki di populasi bunga itu selama dua hari bermula Jumaat lalu dan hanya menemui 30 kudup di lereng bukit, sekuntum bunga hampir mekar dan sekuntum lagi mulai rosak.

“Lazimnya, setiap kali pendakian, kami akan menemui 100 kudup dan lima bunga mekar, namun kali ini ia mendukacitakan,” katanya yang membuat kajian dan melihat bunga pakma di tanah tinggi Lojing, di sini.

Katanya, pembukaan kebun sayur juga antara faktor yang turut menjejaskan rantaian makanan bunga terganggu dengan ketiadaan serangga tertentu di kawasan itu.

“Kita minta kerajaan negeri mengambil tindakan tegas bagi menjaga alam sekitar di kawasan ini bagi mengelak spesis Rafflesia pupus.

“Ia termasuk mengurangkan aktiviti penanaman sayur yang terlalu hampir dengan kawasan pemuliharaan bunga pakma yang menjadi tarikan pelancong ke negeri ini.

“Kerajaan juga disaran mengambil tindakan ke atas pengusaha kebun yang mengakibatkan habitat Refflesia terjejas teruk,” katanya.

Zulhazman berkata, aktiviti penanaman sayur tanpa kawalan itu juga menyebabkan Sungai Kelantan menjadi kotor dan berlaku hakisan.

Disiarkan pada: March 2, 2016 @ 9:31am
d