mutakhir

Harapan tinggi bawa ke Parlimen

Oleh myMetro

Kota Bharu: Kerajaan negeri membayangkan peluang membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 pada tahun ini semakin cerah.

Ia susulan komitmen tinggi Kerajaan Pusat terhadap usaha menjayakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Pindaan 2015) atau hudud di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 17 Januari lalu turut memberi ‘kelegaan’ kepada pihaknya.

“Banyak dibincangkan dalam pertemuan itu dan isu yang tidak selesai sehingga menyebabkan usaha ini (bentang di Parlimen) terbantut tahun lalu.

“Tahun lalu, kami gagal kerana Kerajaan Pusat belum mendapat perkenan penuh Majlis Raja-Raja Melayu untuk meminda Akta 355. Ia aspek teknikal dan sebarang pindaan berkaitan undang-undang Islam perlu diperkenankan Raja Melayu.

“Setakat ini separuh daripada negeri-negeri beraja sudah menyatakan persetujuan dan Kerajaan Pusat masih lagi menunggu keputusan Sultan yang belum menyatakan apa-apa kata putus.

“Hanya selepas mendapat perkenan semua, barulah dibawa ke mesyuarat Majlis Raja-Raja sebelum dibentangkan di Parlimen, namun ia dijangka mengambil masa,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis kunjungan hormat daripada Mustasya Islami Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Abdul Rahman Al- Harfi, di sini semalam.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Disiarkan pada: March 2, 2016 @ 9:50am
d