mutakhir

Tentera Darat terus tambah aset

Oleh myMetro

Port Dickson: Biarpun keadaan ekonomi negara tidak menentu, pasukan Tentera Darat (TD) tetap meneruskan pembangunan mengikut perancangan termasuk menambah aset dan menjana pelan strategik.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, pihaknya akan meneruskan perancangan asal biarpun negara terkena tempias kesan ekonomi global.

Beliau berkata, penghargaan dizahirkan kepada kerajaan yang memberikan ruang bagi meneruskan perancangan tanpa mengambil kira faktor ekonomi.

“Kami (Tentera Darat) akan memberikan komitmen terhadap Projek Gempita untuk menambah aset kenderaan perisai AV 8x8 dan AV 4x4.

“Penambahan dan perolehan aset sememangnya dirancang sejak dulu bagi menggembleng kesiapsagaan pasukan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perbarisan sempena Hari Tentera Darat ke-83 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohamad Nawawi dan Panglima Medan Barat TD, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim.

Dalam program itu, 3,425 anggota dan 157 pegawai terbabit dalam perbarisan.

Disiarkan pada: March 2, 2016 @ 10:03am
d