mutakhir

SOP jamin integriti petugas

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Tiga kumpulan petugas termasuk penyelia peperiksaan; pengawas peperiksaan; pemeriksa kertas peperiksaan masing-masing terikat kepada peraturan; prosedur operasi standard (SOP) dan akta yang jelas bagi menjamin integriti pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam di negara ini.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) Datin Nawal Salleh berkata, semua petugas peperiksaan ini adalah dalam kalangan guru yang dipilih berdasarkan pengalaman masing-masing.

Beliau berkata, integriti dalam peperiksaan penting bagi memberi keadilan kepada anak-anak selain mengawal dan memantau mereka dari sebarang penyelewengan dan penipuan ketika peperiksaan.

“Sistem kawalan juga penting bagi memastikan keadilan diberikan kepada anak-anak kita, justeru LPM menyediakan SOP; peraturan dan garis panduan serta akta bagi memastikan keadilan ini dipatuhi.

“LPM adalah salah satu bahagian di bawah Kementerian Pendidikan dan dikawal mengikut Akta 550, iaitu Seksyen 67; 68 dan 69 yang memperuntukkan beberapa peraturan di bawah penilaian dan peperiksaan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, seksyen itu digunakan untuk mengendali dan menyediakan garis panduan serta tatacara peperiksaan yang jelas.

Nawal berkata, pelantikan petugas peperiksaan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi dan mereka dikehendaki mematuhi segala peraturan dan garis panduan yang sudah ditetapkan.

Dalam pada itu, katanya, penggubal kertas soalan pula dipilih daripada pelbagai peringkat sekolah, termasuk guru yang berkhidmat di sekolah cemerlang dan sekolah di pedalaman di luar bandar bagi memastikan mereka dapat membina soalan berdasarkan kurikulum sekolah.

“Penggubal boleh datang dari sekolah pedalaman dan cemerlang dengan syarat mempunyai pengalaman mengajar selama lima tahun.

“Pengajaran dan pembelajaran (PdP) berbeza di setiap sekolah justeru, penggubal kertas soalan mesti dalam kalangan guru pelbagai peringkat bagi memastikan soalan dibina adil kepada semua pelajar,” katanya.

Katanya, setiap soalan dibina menerusi kurikulum sekolah, malah mereka diuji perkara dan soalan yang diajar ketika proses PdP di sekolah..

Selain itu, Nawal berkata, pihaknya menyediakan prosedur bagi mengelak sebarang penipuan dan penyelewengan kerana dokumen rahsia iaitu kertas soalan tidak boleh dikendali oleh hanya seorang individu.

Menurutnya, kertas soalan yang diambil dari bilik kebal mesti dikendalikan sekurang-kurangnya dua petugas bagi memastikan kertas soalan tidak dibocorkan.

“Soalan ni dibungkus dalam sampul dan apabila sampul diambil dari bilik kebal, ia harus diperiksa untuk elak dicerobohi,” katanya.

Katanya, pemeriksa kertas peperiksaan pula tidak boleh dilantik dalam kalangan mereka yang mengajar di pusat tuisyen bagi mengelak kebocoran maklumat.

Nawal berkata, pihaknya hanya boleh mengambil tindakan kepada calon peperiksaan saja dan sekiranya mereka didapati melanggar peraturan peperiksaan, keputusan peperiksaan mereka boleh dibatalkan.

Secara keseluruhan, seramai 5,000 guru terbabit dalam penyediaan soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain 25,000 hingga 30,000 petugas peperiksaan dilantik membabitkan penyelia kawasan; pengawas peperiksaan dan pemeriksa.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Dr Jamil Adimin berkata, pihaknya turut memperuntukkan Akta 225 mengikut Seksyen 28 (1) dan (2) bagi memastikan petugas peperiksaan memastikan integriti dan keadilan dipatuhi.

“Jika pelanggaran berlaku, petugas peperiksaan boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya sudah mengeluarkan pekeliling supaya calon peperiksaan tidak dibenarkan membawa jam tangan dan telefon ke dalam dewan peperiksaan.

Menurutnya, arahan larangan itu bermula pada penggal kedua Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 pada Mei ini.

“Jam tangan boleh jadi alat komunikasi sama ada untuk berhubung dengan calon lain, atau sebaliknya” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2016 @ 10:19am
d