mutakhir

Penanda aras pelaburan

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Kerajaan berusaha untuk memperkasakan ekonomi golongan Bumiputera bagi memastikan mereka memiliki pendapatan lebih baik, sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Pada 2013, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Agenda Memperkasakan Ekonomi Malaysia yang menggariskan lima langkah utama dalam memastikan golongan terbesar di Malaysia itu mampu bersaing dalam ekonomi negara.

Antara langkah terbabit termasuk menggandakan pemilikan ekuiti saham memandangkan pembabitan Bumiputera dalam pelaburan saham secara langsung atau unit amanah adalah masih rendah iaitu pada tahap 22 peratus daripada 60 peratus jumlah Bumiputera di Malaysia.

Ketua Pelaburan Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank Berhad, Datuk Dr Nazri Khan berkata, pelabur runcit atau pelabur aktif dalam kalangan Bumiputera adalah rendah di mana hanya mewakili lima peratus kepada 5,000 daripada 100,000 jumlah pelabur aktif keseluruhan sehingga kini.

Pelabur aktif adalah golongan pelabur yang cenderung melakukan pelaburan secara langsung dalam saham seperti Petronas, Sime Darby dan Felda Global Venture (FGV).

Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada situasi terbabit seperti jurang gaji Bumiputera dan bukan Bumiputera yang dilihat semakin jauh serta meningkat 10 kali ganda sejak 1970.

“Selain itu, budaya tabungan pelaburan rendah dalam kalangan Bumiputera turut menyumbang kepada situasi ini di samping purata pendapatan isi rumah yang rendah berbanding kaum lain,”katanya ketika sesi Santai Labur Permodalan Nasional Berhad (PNB) di sini.

Beliau berkata, pelaburan boleh dijadikan sumber pendapatan pasif untuk jangka panjang melalui pulangan yang diterima terutama ketika keadaan ekonomi tidak menentu pada masa ini.

Menurutnya, pelaburan adalah perkara yang tidak sukar lebih-lebih lagi dengan PNB kerana institusi itu menawarkan peluang pelaburan yang memiliki konsep mudah dan risiko rendah.

Bagaimanapun, ilmu pelaburan dan perancangan kewangan penting untuk dipelajari supaya tidak tertipu memandangkan ramai Bumiputera yang minat melabur mencari pulangan pantas dan tinggi.

“Seringkali mereka terbabit dalam skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan tinggi. Sebenarnya adalah mustahil kerana pulangan pelaburan itu sentiasa berkait rapat dengan suasana ekonomi semasa dan kecekapan pengurus pelaburan,”katanya.

Secara amnya, budaya pelaburan dalam kalangan Bumiputera adalah terhad kepada masyarakat Bumiputera berpendapatan sederhana dan yang tinggal di bandar-bandar besar.

Nazri berkata, kebanyakan Bumiputera masih tidak memahami konsep pelaburan sebenar di mana seseorang itu mesti memiliki ideal fund atau duit pokok (duit sendiri lebihan yang ditolak daripada komitmen dan ia tidak menjejaskan kehidupan individu jika rugi).

“Selepas itu, baru kita boleh memikirkan cara untuk memanfaatkan ideal fund ini dan mungkin melakukan pembiayaan tertentu untuk menggandakan pelaburan masing-masing.

“Apa paling penting, mereka mestilah memiliki pengetahuan dalam pengurusan kewangan dan pengurusan risiko melalui ideal fund tanpa mempengaruhi kualiti kehidupan mereka jika rugi,”katanya.

Beliau berkata, masyarakat boleh meminjam untuk melakukan pelaburan namun mereka perlu mengamalkan konsep pelaburan yang cekap.

Menurutnya, mereka perlu mempunyai duit pokok atau wang lebihan pada setiap bulan sebagai sumber pelaburan di mana wang itu akan digunakan untuk membayar pinjaman pelaburan dan bukannya menggunakan wang pulangan tahunan yang diterima.

“Kita perlu berhati-hati kerana kadar faedah boleh bertindak dalam dua cara iaitu yang pertama ia memberi keuntungan dan kedua ia menyebabkan kerugian (apabila pulangan tidak mampu membiayai pinjaman),”katanya.

Keputusan sama ada memilih unit amanah di bawah pengurus dana lain atau PNB adalah relatif dan bergantung kepada selera pelaburan masing-masing serta pertimbangan faktor lain seperti umur, saiz ideal fund dan lain-lain.

“Bagaimanapun, saya menyarankan Bumiputera melabur dengan PNB kerana sehingga kini sudah memberi pulangan kompetitif pada risiko rendah di mana lebih 10 juta pelabur yang melabur dengan PNB melalui Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

“PNB adalah penanda aras dalam industri pelaburan unit amanah, memiliki sejarah agihan pendapatan kompetitif dan tadbir urus korporat yang baik serta berpengalaman luas dalam bidang pelaburan dan menawarkan kos urusniaga yang rendah,”katanya.

Mengulas mengenai rizab yang sering diumumkan PNB pada setiap kali pengumuman agihan pendapatan, Nazri berkata mempunyai rizab ialah amalan biasa oleh semua institusi pelaburan untuk memastikan kadar pulangan jangka panjang kepada pelabur adalah konsisten.

“Rizab akan mengurangkan ketidaktentuan pemberian pulangan kerana institusi pelaburan tidak mahu pelabur menerima pulangan terlalu rendah jika persekitaran ekonomi tidak memberangsangkan,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak Tawaran Awam Permulaan (IPO) dan ‘private placement’ diperuntukkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi pelaburan Bumiputera tahun ini dalam usaha meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam ekuiti negara.

Menurutnya, keadaan ekonomi negara dijangka lebih baik pada tahun ini dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka berada pada sekitar lima peratus.

“Justeru ketika ini adalah waktu terbaik untuk melabur kerana institusi pelaburan akan sentiasa mengintai peluang mencari sumber pelaburan terbaik bagi terus memberi pulangan kompetitif kepada pelabur,”katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru Bumiputera menyertai lebih banyak seminar bergerak saham yang kini semakin banyak dianjurkan temasuk oleh pihaknya untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dunia pelaburan.

“Saya berharap mereka menggunakan peluang yang ada untuk melabur dalam unit amanah dan berharap budaya menyimpan serta ilmu kewangan bagi diri masing-masing boleh ditingkatkan melalui penyertaan dalam seminar dan bengkel pelaburan,”katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2016 @ 10:21am
d