mutakhir

Melahir generasi patriotik

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Pembinaan pemikiran baru, jati diri serta identiti bangsa di negara ini perlu bermula dengan sistem pendidikan negara yang holistik dan berpandangan jauh.

Bangsa cemerlang terkenal dengan jati diri kental dan maruah yang dipelihara dengan penuh rasa kebanggaan namun ia tidak akan terbentuk jika generasi muda tidak dipupuk dengan semangat kecintaan yang tinggi pada negara.

Institusi pendidikan negara mesti bergerak seiring dan sekata bagi memastikan generasi muda mendapat pendidikan mengenai sejarah dan kefahaman patriotisme.

Lantaran itu, Kementerian Pendidikan Malaysia memberi mandat kepada Pusat Pendidikan Kenegaraan Institut Aminuddin Baki bagi melaksanakan satu lagi agenda penting dan besar bagi memantapkan pendidikan di negara ini dengan memperkenalkan Pendidikan Kenegaraan sebagai wadah membina keutuhan negara bangsa.

Ia perlu diperkasakan menerusi sosialisasi membabitkan penyertaan semua lapisan masyarakat, tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan budaya secara konsisten di persekolahan serta pendidikan tinggi.

Pengarah Institut Aminuddin Baki Serina Sauni berkata, Pendidikan Kenegaraan ini amat penting untuk diterapkan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk anggota komuniti institusi pendidikan terutama dalam kalangan pelajar supaya mereka mampu menjadi modal insan berkualiti kepada negara.

Menurutnya, pendidikan ini juga untuk mempertingkatkan kesedaran, penghayatan serta komitmen rakyat secara berterusan kepada wawasan negara dan usaha ke arah kecemerlangan, mempersiapkan rakyat supaya menunjangi dasar negara ke arah pembangunan demi kesejahteraan bangsa.

“Semangat patriotisme dan kecintaan yang tinggi kepada negara adalah benteng bagi mempertahankan kemerdekaan dan menjamin keharmonian yang dinikmati kini dapat terus dikekalkan.

“Walaupun Pusat Pendidikan Kenegaraan Institut Aminuddin Baki baharu sahaja mendapat penghakikian jawatan pada tahun 2015, namun program-program Pendidikan Kenegaraan yang dilaksanakan seperti kursus, penerbitan, aktiviti berimpak tinggi dan lain-lain menunjukkan impak dan maklumbalas yang positif daripada pemimpin sekolah yang turut menyokong agenda ini selaras dengan hasrat kerajaan dalam mengekalkan keharmonian masayarakat majmuk di negara ini,” katanya.

Serina berkata demikian ketika ditemui pada Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Peringkat Negeri 2016 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), baru-baru ini.

Konvensyen itu dirasmikan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Hadir sama, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Sarawak Datuk Fatimah Abdullah, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pendidikan Negeri Rakayah Madon.

Lebih kurang 2,500 peserta menyertai konvensyen itu yang terdiri daripada pemimpin sekolah membabitkan pengetua, guru besar, penolong kanan, pegawai Jabatan Pendidikan Negeri dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang Abang Othman Abang Masagus berkata, masyarakat harus memahami ilmu kenegaraan ini kerana ia mengandungi aspek teras dalam pemuafakatan yang dicapai bersama ketika penubuhan negara dan yang perlu sama-sama didukung.

Menurutnya, Malaysia sebuah negara yang memiliki masyarakat dengan latar belakang yang berbeza, justeru rakyat di negara ini perlu mempunyai asas kukuh dalam menilai perpaduan untuk mengekalkan keharmonian dikecapi sedia demi generasi akan datang.

“Pengenalan program pendidikan kenegaraan adalah penting. Untuk itu, rakyat perlu melihat ilmu kenegaraan sebagai benteng yang akan memastikan negara ini sentiasa dipandu secara terbaik oleh generasi muda yang berkualiti dan bertanggungjawab.

“Banyak kelebihan apabila generasi muda, terutama yang masih belajar memiliki pengetahuan kenegaraan yang tinggi. Ilmu ini bukan sekadar membentuk jati diri mereka, malah penentu masa depan negara sama ada kita mampu mengekalkan keharmonian sedia ada dengan jati diri bangsa yang kuat,” katanya.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan, Bau, Janet Tikut berkata, pemilihan tema penganjuran konvensyen itu di Bumi Kenyalang kali ini, Sehati, Sejiwa, Senada bertepatan dengan konsep Pendidikan Kenegaraan.

“Ia menekankan elemen perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Warga pendidik perlu bersedia menghadapi cabaran ini terutama dalam memperkukuhkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Dengan pelaksanaan inisiatif ini, mutu penyampaian guru diyakini lebih efisien dalam menerapkan nilai patriotisme, termasuk ketika sesi pembelajaran di dalam kelas,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Batu 11 Matang, Pau Rong Hee berkata, perpaduan adalah elemen penting untuk menyatukan pelajar dari pelbagai latar belakang untuk membentuk bangsa yang utuh di negara ini.

“Di sekolah saya, walaupun ia terletak di perkampungan Melayu, pelajar boleh bergaul mesra dengan bangsa lain tanpa sebarang masalah.

“Inisiatif ini adalah kaedah terbaik mengekalkan perpaduan dan keharmonian yang sudah wujud sejak merdeka untuk terus terpelihara generasi akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2016 @ 9:47am
d