mutakhir

Episod hidup sebatang kara

Oleh Abu Bakar Al Sidek

Sungai Manik: Kisah seorang warga emas, Ismail Kubin, 74, menjadi viral di laman sosial Facebook sejak beberapa hari lalu berikutan keadaan rumah yang didiaminya amat daif dan banyak bahagian yang mereput.

Ismail yang menetap seorang diri di Parit 18B, Sungai Lampam, dekat sini, berkata, dia menetap di rumah itu seorang diri kerana tidak berkahwin.

“Pak cik tidak berkahwin kerana semasa muda mengambil tugas menjaga orang tua yang tidak sihat, tetapi pak cik tidak pernah menyesal, malah bersyukur dapat berbakti kepada mereka.

“Namun, pak cik ada anak saudara yang tinggal tidak jauh dari sini dan kadang-kadang dia ada melawat untuk bertanya khabar dan melihat keadaan pak cik,” katanya.

Mengenai urusan makanan, minuman dan pakaiannya, Ismail berkata, semuanya diuruskannya sendiri.

“Kalau larat. pak cik akan masak menggunakan dapur kayu, kalau tidak pak cik kayuh basikal ke kedai makan berdekatan untuk beli nasi bungkus,” katanya.

Anak sulung daripada dua adik beradik itu turut memiliki sawah seluas 0.4 hektar yang disewakan kepada orang lain dan dia memperoleh pendapatan bersih antara RM700 hingga RM800 sehektar semusim.

“Pak cik pernah memohon bantuan daripada kerajaan untuk membina rumah baru, tetapi hingga sekarang tidak ada sebarang jawapan diterima sama ada permohonan diluluskan atau ditolak,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang sudi berkunjung ke kediamannya baru-baru ini.

Zainol Fadzi ditemani Pembantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hilir Perak, Muhammad Azanie Ehsan yang datang melihat sendiri keadaan rumah Ismail itu.

Menurut Zainol Fadzi, pihaknya akan berusaha mendapat bantuan daripada Yayasan Bina Upaya (YPU) untuk dibina rumah baru atas tapak miliknya itu.

Malah, pihak JKM Hilir Perak turut meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM300 sebagai kos sara hidup kepada lsmail.

Disiarkan pada: March 3, 2016 @ 9:53am
d