mutakhir

Latihan perkuat stamina tua [METROTV]

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pendaki solo, Lee Chong Meng, 68, memperhebatkan lagi latihan termasuk melakukan larian lebih tiga kilometer (km) sehari sebagai persiapan akhir menawan Gunung Everest menerusi ekspedisi Mount Everest Expedition (MEE) pada April depan.

Bekas jurutera itu berkata, dia turut menimba ilmu pendakian gunung daripada jurulatih berpengalaman kerana tidak mahu menghadapi sebarang masalah ketika mendaki gunung tertinggi di dunia itu.

Katanya, setiap hari dia melakukan latihan dan senaman bagi memperkuatkan stamina selain berlari sejauh tiga kilometer kerana memerlukan kekuatan otot di setiap anggota badan bagi menjayakan misi itu.

Bapa kepada empat anak itu berkata, penjagaan makanan juga penting kerana ia menentukan tahap kesihatan dan keupayaan badan setiap individu.

“Hanya tinggal sebulan saja untuk saya menjalani latihan fizikal sebelum mendaki gunung itu kerana sedia maklum ia memerlukan kekuatan daripada segi mental dan fizikal selain pengalaman.

“Perkara penting adalah menjaga pemakanan kerana apa yang dimakan adalah menentukan keupayaan badan kita dan jika tidak menjaganya pasti berdepan masalah kesihatan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dia yang mempunyai tiga cucu berkata, sebelum mendaki gunung, individu berkenaan perlu menjalani latihan secukupnya dengan dibantu tenaga pengajar berpengalaman bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya sedar Everest mempunyai risiko tinggi berbanding gunung lain dan kemungkinan kemalangan hingga meragut nyawa boleh terjadi jika tiada persediaan secukupnya.

“Walaupun saya mempunyai pengalaman, namun persediaan tetap dibuat. Saya menghabiskan 29 hari secara berterusan pada Oktober dan November tahun lalu dengan mendaki Gunung Ama Dablam, Nepal sehingga mencapai ketinggian 6,500 meter,” katanya.

Menurutnya, cabaran yang bakal dilaksanakan itu dapat meningkatkan kesedaran dan kepentingan menjaga alam sekitar.

Disiarkan pada: March 4, 2016 @ 9:04am
d