mutakhir

Positif pulih wajah

Oleh Nazdy Harun

Hulu Terengganu: “Saya berterima kasih kerana hajat untuk memulihkan wajah menampakkan petanda positif apabila ada pihak sudi membantu dan menghulurkan bantuan,” kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizam, 14, yang bakal bertemu dengan pakar pembedahan plastik di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Menurutnya, tiada apa yang mampu diungkapkan selain bersyukur kepada Allah kerana hajatnya untuk memulihkan wajahnya yang mengalami kecacatan selepas kejadian disimbah asid oleh bapa kandung, enam tahun lalu semakin cerah.

Katanya, sejak pendedahan mengenai dirinya dilaporkan Harian Metro, banyak pihak tampil mahu membantunya termasuk kesudian pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Dr Vida untuk bertemu dengannya.

“Dengan bantuan Harian Metro dan kerjasama TV9 semalam (kelmarin) bersetuju untuk mengatur pertemuan saya dengan seorang pakar pembedahan plastik di pusat perubatan, Sabtu ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu di sini, semalam.

Menurutnya, dia difahamkan dijadualkan bertemu dengan pakar berkenaan, jam 1 tengah hari Sabtu ini dan akan ke Kuala Lumpur dengan ditemani ibunya Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 35, dan nenek Minah Omar, 64.

“Kami bukan daripada keluarga yang senang dan segala bantuan dihulurkan amat besar ertinya kepada saya untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Che Ku Zaimah berkata, dia tidak menduga selepas perkhabaran anaknya akan dapat bertemu dengan Dr Vida menyusul pula tawaran untuk melakukan pemeriksaan wajah anaknya itu dengan seorang pakar pembedahan plastik di Kuala Lumpur.

“Saya berharap wajah anak saya mampu dipulihkan walaupun tidak sesempurna seperti sebelumnya tetapi sudah memadai sekiranya kelihatan lebih baik berbanding sekarang,” katanya.

Menurutnya, tiada yang lebih menggembirakan dia sekeluarga apabila melihat anaknya kini semakin bersemangat dan gembira apabila mengetahui akan menemui pakar terbabit.

Katanya, dia hanya mampu berdoa semoga Allah membalas budi baik pihak yang sudi membantu keluarganya, sekali gus merealisasi hasrat anaknya untuk memulihkan wajahnya.

Disiarkan pada: March 4, 2016 @ 10:09am
d