mutakhir

Impi sambung belajar di UK

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Dikelilingi rakan daripada keluarga berada membuatkannya berasa rendah diri, malah pernah menangis kerana tidak mampu mengikut tuisyen luar seperti mereka.

Namun, keadaan itu tidak sedikit pun melunturkan semangat Siti Nuraminah Huda Abu Jidin, 18, sebaliknya dia tetap berazam belajar bersungguh-sungguh dan hasilnya memperoleh 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 diumumkan, semalam.

Keputusan itu melayakkannya tersenarai antara 14 pelajar terbaik Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), sekali gus membuktikan anak pembantu perawatan hospital juga mampu berjaya.

Lebih terharu, ibu bapa bersama adiknya yang juga orang kurang upaya (OKU) sanggup datang dari Temerloh menaiki bas semata-mata untuk meraikan kejayaannya.

Menurutnya, dia tidak menyangka keluarganya sanggup datang untuk meraikannya berikutan memahami kekangan dihadapi bapanya Abu Jidin Md Yasin, 55, yang bekerja di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh manakala ibunya Siti Zainab Harun, 57, tidak bekerja.

“Terkejut juga apabila melihat ibu dan ayah ada dalam dewan sebaik saya turun pentas (menerima sijil) hingga saya tidak dapat menahan air mata, kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang tetapi juga untuk mereka.

“Walaupun ayah tidak berpelajaran tinggi, namun dia sentiasa mementingkan pelajaran dan dengan kejayaan ini diharap akan menjadi contoh kepada dua adik saya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2015 di Yayasan Pahang di sini, semalam.

Seramai 14 calon maahad berkenaan memperoleh semua A dalam mata pelajaran diambil berbanding lima calon pada 2014, malah Gred Purata Sekolah (GPS) juga meningkat kepada 1.38 berbanding 1.46 pada 2014.

Siti Nuraminah Huda berkata, dia tidak mempunyai sebarang rahsia, sebaliknya hanya mengikut jadual waktu ditetapkan maahad termasuk mengikuti kelas hafazan al-Quran setiap pagi.

“Setiap pagi saya akan membaca al-Quran sebelum masuk ke kelas dan sentiasa memberi fokus sepenuhnya ketika sesi pembelajaran, selepas itu saya akan melakukan proses pembelajaran semula bagi mengingati apa dipelajari dalam kelas.

“Malah, saya juga meminta rakan yang mengikuti tuisyen di luar untuk mengajar saya apa yang mereka belajar, sekurang-kurangnya saya dapat juga ilmu tambahan,” katanya.

Menyimpan hasrat untuk menjadi jutawan, dia merancang melanjutkan pelajaran dalam bidang analisis pelaburan atau pengurusan hartanah di United Kingdom.

Bagi Zuhairatul Jannah Md Zulkifli, 18, yang pernah menggemparkan negara berikutan kehilangannya secara misteri pada 2012 tidak menyangka turut memperoleh 11A kerana dia hanya mensasarkan untuk memperoleh 9A.

Menurutnya, keputusan memilih ke kelas perakaunan walaupun dipujuk guru untuk ke kelas sains tulen tepat tatkala menatap slip peperiksaannya, malah dia berjaya memperoleh A+ dalam Prinsip Akaun.

“Ketika di tingkatan empat, guru mencadangkan saya memasuki kelas sains tulen kerana bidangnya lebih luas, malah peluang melanjutkan pelajaran juga tinggi tetapi saya memilih memasuki kelas perakaunan kerana meminati hal berkaitan angka,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2016 @ 10:21am
d