mutakhir

Lari tinggal barang jualan [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Kira-kira 20 premis perniagaan di Jalan Bukit Bintang, di sini, yang kebiasaannya sibuk tiba-tiba lengang selepas ditinggalkan pekerja warga asing yang menjaga premis berkenaan apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa dalam satu operasi bersepadu, semalam.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai yang lalu lalang terkejut apabila melihat semua barangan ‘berjenama’ di dalam premis dibiarkan begitu sahaja sambil dikawal pihak berkuasa dalam operasi bertujuan membanteras aktiviti perniagaan dan syarikat yang dimiliki warga asing.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata, operasi anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu membabitkan 165 pegawai dan anggota dari beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Operasi selama empat jam bermula jam 11 pagi itu membabitkan empat kawasan panas di Bukit Bintang selepas kami menerima aduan mengenai kebanjiran warga asing yang menjalankan perniagaan di sini.

“SSM menggempur 75 premis perniagaan selepas didapati gagal mendaftarkan premis mereka, malah ada sebahagian premis juga dikesan berdaftar atas nama warga tempatan, tetapi diuruskan oleh warga asing,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan, semalam.

Alias yang juga Pengerusi SSM berkata, perniagaan dan syarikat yang berdaftar dengan SSM tidak seharusnya disalah guna untuk menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Kami akan membuat siasatan terperinci sama ada warga asing yang bekerja atau menjalankan perniagaan di situ mempunyai lesen dan permit yang sah atau tidak.

“Sekiranya terbukti mereka sekadar makan gaji, perlu ada permit pekerja asing yang sah dan sama sekali tidak boleh menguruskan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, SSM boleh mengambil tindakan dengan membatalkan lesen pendaftaran perniagaan dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001).

Katanya, dalam operasi itu, sebanyak 21 notis pematuhan turut dikeluarkan merangkumi sembilan kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 dan 12 kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 atas pelbagai kesalahan seperti gagal mempamerkan papan tanda, tiada sijil perniagaan dan gagal memperbaharui sjil perniagaan.

Beliau berkata, dalam serbuan sama, KPDNKK turut merekodkan 16 kesalahan di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

Disiarkan pada: March 4, 2016 @ 10:26am
d