mutakhir

Tiga murid 'sarapan kaca' jalani ujian skop

Oleh myMetro

Beluran: Tiga murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor, Selangor yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kerana termakan sarapan dipercayai mengandungi serpihan kaca akan menjalani ujian skop dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata, kementeriannya memantau perkembangan murid berkenaan sepanjang masa termasuk menghubungi pihak Hospital Sungai Buloh pada setiap hari.

“Tiga murid ditempatkan di hospital dan dua daripada mereka selesai menjalani ujian skop.

“Pemantauan lanjut daripada pihak hospital perlu dilakukan berikutan murid terbabit mendakwa masih mengalami sakit perut,” katanya pada lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balaban Jaya, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurut Kamalanathan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Jabatan Pendidikan Selangor untuk menghentikan serta-merta perkhidmatan pengusaha kantin berkenaan dan menggantikannya dengan penyedia perkhidmatan buat sementara waktu.

“Kami juga tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pengusaha kantin kerana kesilapan dilakukan serius.

“Kesilapan sedemikian walaupun jarang berlaku, namun ia sepatutnya tidak berlaku,” katanya.

Katanya, buat masa ini, pihaknya masih menunggu laporan selanjutnya sebelum tindakan lanjut diambil.

Pada masa sama, Kamalanathan berkata, KPM memperuntukkan RM40 juta untuk membina SMK Balaban Jaya yang baru bagi keselesaan pelajar terutama dari kawasan luar bandar.

Kamalanathan berkata, kelulusan peruntukan berkenaan membabitkan pembinaan sepenuhnya sekolah itu di lokasi baru yang sudah dikenal-pasti.

“Kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sudah meluluskan RM40 juta untuk menggantikan sepenuhnya sekolah ini kepada bangunan baru.

“Apabila siap, sekolah ini akan dilengkapi 18 bilik darjah, lain-lain kelas dan asrama yang mampu menempatkan kira-kira 300 pelajar,” katanya.

Menurut Kamalanathan, turut dibina 16 unit rumah bagi keselesaan guru yang mengajar di sekolah itu.

Disiarkan pada: March 4, 2016 @ 10:29am
d