mutakhir

Sasar jemaah solat

Oleh Zulfa Mohamad

Kepala Batas: Geng penyamun yang menjadikan kereta jemaah masjid sebagai sasaran mereka sejak beberapa bulan lalu akhirnya tumpas susulan tangkapan seorang daripada lima anggota geng terbabit pada 1 Mac lalu.

Suspek berusia 23 tahun bersama rakannya itu menjalankan kegiatan pecah kereta sekitar Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, suspek menjalankan kegiatan itu bersama empat rakannya berusia antara 20 dan 25 tahun yang masih bebas tetapi sudah dikenal pasti lokasi mereka.

Beliau berkata, susulan penahanan suspek sekitar pekan ini, polis turut merampas sejumlah jam tangan, telefon bimbit, kamera dan komputer riba dipercayai hasil curi.

“Suspek menjalankan modus operandi dengan meninjau kawasan tempat meletak kereta sekitar masjid ketika jemaah solat sebelum memecahkan cermin dan mengambil barang berharga.

“Siasatan mendapati suspek terbabit dalam 23 kes pecah cermin kereta sekitar SPU dan 10 kes lagi sekitar SPT membabitkan kerugian keseluruhan RM60,400,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Azmi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan dengan suspek akan diserahkan kepada polis SPT untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, beliau berkata, empat lelaki berusia antara 17 dan 27 tahun ditahan di beberapa lokasi pada 24 Februari lalu kerana terbabit dalam kes samun stesen minyak dan tabung masjid sekitar SPU dan SPT.

Menurut Azmi, siasatan mendapati suspek terbabit dalam lima kes samun stesen minyak sekitar SPU dan dua kes curi tabung masjid sekitar Tasek Gelugor.

“Susulan penahanan suspek, polis merampas sebuah motosikal, telefon bimbit dan komputer riba yang dicuri.

“Hasil soal siasat, keempat-empat suspek mengaku terbabit dalam kegiatan jenayah selain ujian air kencing mereka didapati positif dadah,” katanya.

Susulan itu, mangsa samun diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis SPU bagi mengenal pasti barangan milik mereka.

Disiarkan pada: March 5, 2016 @ 6:17am
d