mutakhir

Pengemis siber tagih simpati

Oleh Nasuha Nazim

Kuala Lumpur: Jika sebelum ini mereka menagih simpati dengan menjaja kisah kesusahan mendapatkan bantuan zakat kini wujud pihak tertentu menggunakan gambar bayi yang menderita penyakit, warga emas atau orang kurang upaya (OKU) untuk mengaut keuntungan mudah.

Modus operandi mudah, hanya sebarkan gambar kitar semula yang pernah dilaporkan di media dan merayu bantuan dengan meletakkan nombor akaun peribadi mereka.

Mendedahkan perkara itu, Pengurus Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohd Nizam Yahya berkata, golongan itu yang digelar ‘pengemis siber’ akan menggunakan beberapa modus operandi untuk meminta simpati dan menipu orang ramai di Facebook (FB).

“Selalunya mereka akan menggunakan ayat menarik dan mengambil gambar seperti bayi sakit yang boleh mendatangkan rasa simpati serta empati kepada orang ramai dengan mengaku bahawa pesakit itu adalah anaknya.

“Selepas itu, mereka akan menukar butir peribadi seperti nombor akaun bank untuk mengaburi masyarakat mengenai penipuan yang dibuat,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Menurutnya, setakat ini pihaknya mengesan dua nama di FB yang sering menggunakan gambar bayi untuk menagih simpati.

“Kami cuba menghubungi dua penama itu tetapi mereka gagal tampil. Satu laporan polis sudah dibuat berhubung perkara itu,” katanya.

Menurutnya, kewujudan pengemis siber mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat terutama Baitulmal dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) kerana boleh mendatangkan fitnah kononnya pihak berkuasa agama tidak menjalankan amanah membantu orang Islam yang dalam kesusahan.

“Oleh itu, masyarakat terlebih dulu perlu ada konsep Tabayyun iaitu selidik dan pastikan maklumat itu benar atau tidak supaya tidak menjadi satu fitnah kepada pihak tertentu.

“Apabila aktiviti pengemis siber semakin berleluasa, orang ramai akan hilang kepercayaan serta mempersoalkan fungsi Baitulmal dan PPZ maka akan ada pihak mengambil keputusan tidak membayar zakat ke PPZ, malah terus memberi bantuan kepada asnaf,” katanya.

Mohd Nizam berkata, hakikatnya, lebih RM433 juta sumbangan dikeluarkan Baitulmal untuk membantu golongan asnaf pada tahun lalu.

“Selain dari bantuan kewangan, Baitulmal juga turun mencari gelandangan dan pegawai kami memberikan sumbangan sewajarnya kepada mereka sekiranya memerlukan.

“Kami juga mewujudkan skuad jejak asnaf dan gelandangan serta talian bebas tol untuk orang ramai hubungi serta memberikan maklumat serta tidak menyebarkan gambar mereka.

“Sekiranya orang awam hanya menviralkan gambar di FB, maka Baitulmal tidak dapat menjejaki golongan itu serta bantuan gagal disampaikan,” katanya.

Beliau berkata, meminta bantuan daripada orang ramai tidak menjadi kesalahan tetapi bersikap jujur dengan tidak menyembunyikan kebenaran.

“Saya berharap, orang ramai yang ingin memberikan sumbangan, dapatkan pengesahan terlebih dulu dan tidak terus menyalahkan pihak berkuasa dengan menyatakan kami tidak memberikan bantuan kepada mereka.

“Oleh itu, sekiranya timbul isu viral di FB dengan tiada memberikan maklumat lengkap, maka selidik terlebih dulu sebab mungkin ada unsur penipuan dan sekiranya orang ramai perlukan lebih maklumat boleh hubungi talian 1-800-88-222 atau 012-5127614,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2016 @ 6:20am
d