mutakhir

Serbu ladang, kebun, semak

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Seramai 169 individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan polis atas kesalahan membabitkan dadah dalam operasi serentak di seluruh negeri ini, kelmarin.

Dalam serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu, seramai 160 lelaki ditahan, manakala sembilan lagi adalah wanita.

Operasi serentak di semua daerah bermula 4 pagi hingga 6 petang itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor.

Ketua JSJN Johor, Asisten Komisioner Zulkifli Ali berkata, sebanyak 205 individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan di pelbagai kawasan termasuk kebun, ladang, semak dan rumah kosong.

“Dalam operasi ini, kita memeriksa 205 individu menahan 169 daripadanya berusia dalam lingkungan 18 hingga 68 tahun yang mana seorang daripadanya warga Indonesia, manakala yang lain adalah warga tempatan.

“Antara yang ditahan pula, 14 daripadanya disyaki pengedar dadah atau tokan, 22 pula ditahan kerana memiliki dadah dan 133 dikenal pasti positif dadah dalam ujian saringan air kencing termasuk seorang remaja perempuan.

“Kita turut merampas pelbagai jenis dadah dengan berat keseluruhan sebanyak 1,249.41 gram,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menjumpai sebuah motosikal curi yang dilaporkan hilang di Balai Polis Pasir Gudang di sini, Ogos tahun lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 bagi kes urin,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, operasi yang dijalankan bukan saja untuk menahan penagih dadah tetapi ia juga antara strategi tindakan pencegahan jenayah serta untuk meyakinkan masyarakat terhadap kehadiran polis.

“Polis Johor mengalu-alukan semua lapisan masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat berhubung jenayah atau dadah kepada polis melalui talian 07- 221 2999,”

Disiarkan pada: March 5, 2016 @ 6:27am
d