mutakhir

Zahir rasa terima kasih

Oleh Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Orang ramai berpeluang menemui artis, selebriti dan penyampai radio Hot FM sempena siri jelajah Hot FM Dekat Je Tour yang bakal merentasi Semenanjung selama empat hujung minggu mulai semalam hingga 20 Mac ini.

Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima Berhad (MPB) Anida Mohd Tahrim berkata, jelajah Hot FM Dekat Je Tour dengan kerjasama Tourism Malaysia diadakan bagi menunjukkan rasa terima kasih kepada pendengar setia Hot FM di seluruh Semenanjung.

“Sempena menyambut ulang tahun Hot FM ke-10, orang ramai khususnya pendengar Hot FM berpeluang beramah mesra dengan artis dan selebriti tempatan melalui kempen #HotFMDekatJeTour.

“Kami membawa pendengar terpilih beramah mesra dan bersantai bersama artis serta selebriti tempatan sambil menjelajah ke lokasi percutian di dalam negara bermula di utara tanah air,” katanya pada Majlis Pelancaran jelajah Hot FM Dekat Je Tour, di sini, semalam.

Pelancaran jelajah ‘Hot FM Dekat Je Tour disempurnakan Pengarah Komunikasi dan Publisiti Tourism Malaysia Datuk Mohmed Razip Hasan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima Berhad Seelan Paul.

Sebagai permulaan, ‘Hot FM Dekat Je Tour’ ke utara tanah air bermula di Gunung Jerai dan Menara Alor Setar, Kedah hari ini diikuti Bukit Bendera dan Padang Kota Lama, Pulau Pinang esok.

Anida berkata, pelbagai aktiviti dijalankan dalam kalangan penyampai dan pendengar sepanjang penjelajahan itu dan diakhiri dengan mini konsert bersama artis bermula jam 4 hingga 6 petang.

Menurutnya, untuk menjadi pendengar terpilih, mereka perlu memuat naik foto lokasi pelancongan terbaik ke akaun Instagram mereka menggunakan #HotFMDekatJeTour dan disertakan dengan kapsyen paling menarik mengapa mereka perlu menyertai jelajah ini.

Katanya, lima pemenang dengan kapsyen paling kreatif akan membawa pulang wang tunai RM200, selain menikmati percutian selama tiga hari dua malam dan tiket percuma ke konsert mini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Promosi Domestik Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata, kerjasama julung kali ini memberi peluang kepada orang ramai melancong sambil beramah mesra dengan selebriti tempatan.

“Kempen ini satu inisiatif dari Tourism Malaysia untuk membawa lokasi tarikan pelancongan ke satu tahap lebih tinggi terutama kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

“Ini satu tarikan untuk mereka meneroka Malaysia yang kaya dengan hasil khazanah alam dan flora serta sejarah tersendiri,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2016 @ 6:28am
d