mutakhir

Terbang terus ke Karachi

Oleh Othman Mamat melaporkan dari Lahore

Malindo Air menimbang kemungkinan mengembangkan perkhidmatan penerbangan terus ke Karachi dan ibu negara Pakistan, Islamabad.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata, pihaknya percaya kedua-dua destinasi mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong dari Malaysia.

Menurutnya, pada masa ini hanya Malindo Air menyediakan perkhidmatan bagi sektor Kuala Lumpur-Lahore selepas Penerbangan Malaysia (MAS) menamatkan penerbangan ke negara ini.

“Terdapat permintaan yang tinggi dalam kalangan ahli perniagaan dan pelancong dari kedua-dua negara dan Malindo Air bersedia mengembangkan perkhidmatan ke Karachi dan Islamabad.

“Pada masa ini Malindo Air terbang dari Kuala Lumpur ke Lahore dan sebaliknya empat kali seminggu. Kami akan menambah kekerapan termasuk mengadakan penerbangan harian pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sejurus tiba dengan penerbangan sulung Malindo Air dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Allama Iqbal, di sini, tengah malam semalam.

Turut serta dalam penerbangan yang mengambil masa lima jam 55 minit menggunakan pesawat Boeing 737-900ER yang boleh memuatkan sehingga 180 penumpang itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan rombongan media.

Lahore adalah bandar raya paling padat dan ketiga terbesar di Pakistan yang dihuni 12 juta penduduk.

Bandar ini bersempadan dengan Amritsar di India dan majoriti penduduknya adalah keturunan Punjabi beragama Islam.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, masih banyak peluang perniagaan boleh diterokai usahawan Malaysia di Pakistan, khususnya di Lahore.

Katanya, beliau dimaklumkan syarikat telekomunikasi terkemuka negara Axiata juga bakal memperluaskan perkhidmatannya di negara ini.

Menurutnya, perkhidmatan penerbangan yang disediakan Malindo Air bukan saja merapatkan lagi hubungan Malaysia-Pakistan, malah menyediakan peluang kepada usahawan dan pelancong kedua-dua negara untuk meneroka peluang perniagaan di negara ini.

“Penerbangan ini mempunyai nilai sentimental kerana ramai rakyat Pakistan kini mendapat kerakyatan Malaysia. Ini akan merapatkan hubungan komuniti di Malaysia dan Pakistan selain mewujudkan peluang perniagaan yang baik,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2016 @ 6:32am
d