mutakhir

'Haruan' makin ganas

Oleh Mohd Fadly Samsudin dan Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Bapa binatang. Itu perumpamaan tepat terhadap perbuatan jijik seramai 653 bapa yang tergamak menjadikan anak perempuan mereka sebagai ‘alat’ pemuas nafsu.

Golongan lelaki merogol darah daging sendiri itu dikesan terus meningkat saban tahun berdasarkan statistik dikumpulkan pihak polis.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, kesalahan sumbang mahram membabitkan bapa kandung ‘menyumbang’ kes tertinggi apabila mencatatkan 341 kes sejak tahun 2011 hingga 2015.

Daripada jumlah itu, kes tertinggi dicatatkan pada 2014 apabila 84 kes perkosa anak dilaporkan kepada polis diikuti 53 kes pada tahun lalu.

Selain itu 312 kes perkosa anak tiri dilaporkan kepada polis sepanjang tempoh lima tahun lalu dengan angka tertinggi dicatatkan pada 2014 (79 kes).

Majoriti mangsa pelajar peringkat menengah rendah berusia antara 13 hingga 15 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Asisten Komisioner Ong Chin Lan berkata, anak adalah insan amat memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ahli keluarga sendiri dan perbuatan bapa kandung atau bapa tiri itu amat dikesali.

“Tindakan tidak bermoral ini mendatangkan banyak kesan negatif terhadap diri mangsa. Apa yang membimbangkan masa depan anak yang menjadi mangsa serangan seksual oleh ahli keluarga sendiri.

“Mereka lebih mudah terjerumus ke dalam kancah negatif dan jenayah lain termasuk gejala dadah kerana kekecewaan yang dialami,” katanya.

Walaupun jumlah ini masih berada di paras terkawal, namun polis sentiasa memberi perhatian serius terhadap kes jenayah sumbang mahram ini.

“Kejadian ini membawa kesan buruk kepada perkembangan emosi seseorang anak. Mangsa juga berasa kemerosotan harga diri, reaksi emosi seperti marah, rasa bersalah, sedih atau kemurungan, rasa terpinggir, gangguan fizikal dan banyak lagi,” tegasnya.

Ong berkata, gangguan seksual menyebabkan kesan trauma kepada perkembangan anak dan selalunya mangsa tidak mempunyai rakan yang ramai, kurang bercita-cita dan rendah penghargaan kendiri.

“Masalah penderaan seksual terhadap kanak-kanak harus dibendung kerana gejala itumeruntuhkan institusi sesebuah masyarakat.

“Pelbagai langkah perlu diambil seperti mengadakan pelbagai kempen kesedaran pentingnya institusi kekeluargaan,” tegasnya.

Disiarkan pada: March 5, 2016 @ 7:23am
d