mutakhir

Kaedah calon Guru Global

Oleh Ibrahim Isa

Muar: Kaedah didikan secara hiburan, penguasaan pembelajaran, penguasaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan latih tubi menjadi resipi kejayaan K Vanesri, 26, memulihkan 21 daripada 26 murid kelas pemulihan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Khalidi, di sini, ke kelas perdana tahun lalu.

Lebih membanggakan kaedah itu dibentangkan di peringkat antarabangsa sempena pertandingan Hadiah Guru Global anjuran Varkey Foundation di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 13 Mac ini yang menawarkan hadiah wang tunai AS$1 juta (RM4 juta).

Vanesri ketika ditemui berkata, dia terkejut namanya terpilih dalam senarai 50 terakhir kerana tidak tahu mengenai anugerah berkenaan dan namanya diperkenalkan rakan dari Thailand.

Katanya, tahun lalu dia memenangi tempat kedua Anugerah Pendidikan Sukan anjuran Pertubuhan Kementerian Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) di Thailand dan sejak itu, dia berkenalan dengan beberapa guru dari negara lain serta menubuhkan kumpulan WhatsApp sendiri.

Menurutnya, melalui kumpulan itu mereka bertukar pandangan dan salah seorang rakannya kagum kejayaannya membantu 14 murid kelas pemulihan meningkatkan pelajaran hingga ke kelas perdana pada 2014.

“Saya tidak menyangka rakan saya mengetengahkan nama saya kepada penganjur anugerah Guru Global ini dan menerima e-mel daripada penganjur meminta saya memberikan bukti berbentuk video, dua gambar, pautan laman web dan sokongan Kementerian Pendidikan berkaitan prestasi saya pada Jun tahun lalu.

“Baru saya sedar saya perlu mencalonkan diri sendiri dengan menjawab soalan serta memberikan bukti dan menggunakan masa lebih sebulan menjawab 15 soalan diberikan,” kata anak kedua daripada tiga beradik.

Menurutnya, walaupun perlu bersaing dengan calon negara lain termasuk negara maju, dia yakin mampu meletak nama negara di pentas dunia dan menduduki kedudukan membanggakan berdasarkan prestasi dan kaedah digunakan.

“Juri di peringkat antarabangsa lebih mementingkan kaedah digunakan dan keputusan penggunaan kaedah itu terhadap murid dan sebab itulah saya yakin keputusan ini” kata lepasan Institut Pengajian Guru (IPG) Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan.

Vanesri yang memegang ijazah Pendidikan Pemulihan berkata, menyediakan persekitaran menggembirakan murid dan apabila berminat barulah mereka akan membabitkan diri dalam pembelajaran.

Katanya, dia menggunakan terapi pasir, sagu dan muzik kerana kebanyakan murid pendidikan pemulihan tidak kenal A, B, C walaupun di tahun tiga.

Menurutnya, dia menggunakan ICT iaitu Power Point menghasilkan interaktif dua hala supaya murid aktif dan mewujudkan pembelajaran dua hala.

“Saya memberi penekanan kepada latih tubi dan ulangan supaya apa yang dipelajari diingati semula, sekaligus membolehkan mereka meningkatkan pengetahuan dan keyakinan diri.

“Saya gembira kejayaan mereka dan berharap teknik pembelajaran berkenaan membantu saya mengharumkan nama negara ,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2016 @ 8:55am
d