mutakhir

'Saya ingat dia pergi kerja'

Oleh Zaid Salim

Chukai: “Saya sangka dia (Rosli) tidak balik rumah sebab pergi kerja. Saya terkejut apabila mendapat tahu dia ditemui mati dalam substesen TNB (Tenaga Nasional Berhad) berkenaan,” kata Sapiah Abdul Rahman, 45, kakak kepada Rosli, 42, dari Kampung Ibok, di sini, seorang daripada dua mangsa yang ditemui mati, malam kelmarin.

Rosli bersama seorang lagi lelaki dipercayai rakannya, Anuar Husain, 46, ditemui mati dalam substesen milik TNB di kawasan kilang Perwaja Steel, Telok Kalong, di sini.

Sapiah berkata, dia menerima berita sedih mengenai kematian adiknya itu selepas dihubungi isteri arwah pada kira-kira jam 8 pagi semalam.

Katanya, adik iparnya ada memaklumkan kepadanya mengenai adiknya yang tidak pulang ke rumah sejak empat hari lalu.

“Oleh kerana arwah bekerja sendiri, dia menyangkakan arwah tidak pulang kerana keluar bekerja di tempat jauh dan meminta wanita itu bersabar.

“Namun saya tidak sangka adik ditemui dalam keadaan terbujur kaku dan menyedihkan dalam kawasan substesen itu,” katanya.

Menurut Sapiah, kali terakhir dia berjumpa dengan adiknya itu kira-kira dua minggu lalu ketika arwah bertandang ke rumahnya di kampung sama.

Katanya, dia kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang memberi komen negatif di laman sosial terhadap penemuan adiknya itu dan menganggap tindakan itu adalah tidak bertanggungjawab.

Mayat Rosli ditemui bersama rakannya Anuar dari Kampung Payoh, Kemasik dalam keadaan mengerikan apabila kedua-dua mayat berkenaan hampir reput.

Disiarkan pada: March 8, 2016 @ 7:13am
d